KUALA LUMPUR – Sebagai sebuah institusi yang mempunyai kepakaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diberi kepercayaan oleh International Labour Organization (ILO) untuk menjalinkan kerjasama membangunkan ‘Career Map’ bagi mempertingkatkan peluang pekerjaan belia di Malaysia.

Projek yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Affero Ismail dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, UTHM itu telah menggabungkan hampir 30 wakil dari pelbagai agensi kerajaan, kementerian, penyedia latihan TVET serta industri melalui pelaksanaan bengkel yang diadakan pada 20 September 2023 lau bertempat di Swiss-Garden Residence, Kuala Lumpur.

Industri yang terlibat antaranya McDonald Malaysia, Gapurna Permai Sdn. Bhd. (GPSB), Costa Coffee Café , Xofi.Trg Café,  Secret Recipes, QSR Brands, Malaysia Food and Beverage Executives Association, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan beberapa institusi pendidikan lain seperti IIMAT College, Breyer College dan kolej komuniti.

Menurut Dr. Affero, objektif utama bengkel itu dijalankan adalah bagi mendapatkan maklumat tentang laluan pekerjaan golongan belia dalam bidang TVET terutamanya dalam bidang perkhidmatan makanan di peringkat nasional.

“Melalui bengkel ini, setiap wakil agensi dan industri diberi peluang untuk memberi pandangan mengenai laluan pekerjaan bidang penyediaan makanan.

“Hasil perbincangan bengkel ini akan dijadikan panduan kepada pencari kerja dalam bidang perkhidmatan makanan,” katanya.

Bengkel tersebut turut dihadiri oleh Penyelaras Projek Nasional, ILO Malaysia Zharif Shafiq Badrul Hisam dan Fatin Amalina Mohd Zuki.

Menurut Zharif, projek tersebut dilaksanakan bertujuan untuk memberi peluang kepada remaja terutamanya wanita untuk menceburi bidang perkhidmatan makanan.