Oleh Ts. Muhamad Amin Haji Ab Ghani
BATU PAHAT – Bagi meningkatkan kualiti pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Kursus Pembangunan Bahan Pengajaran Bertulis – Written Instruction Material (WIM) pada 17 hingga 21September 2023 lalu.
Kursus dengan kerjasama Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) serta Pusat Kepimpinan dan Kompetensi, UTHM itu melibatkan penyertaan 33 Staf FPTV terdiri daripada 22 pensyarah, 11 jurutera pengajar dan tiga penolong jurutera dari tujuh program kemahiran yang ada di FPTV.
Turut hadir, Timbalan Dekan FPTV (Akademik dan Antarabangsa), Ts. Dr. Mohd Hasril Amiruddin sekali gus merasmikan penganjuran kursus tersebut.
Menurut Ketua Jabatan Kemahiran dan Profesional, Ts Dr. Nizamuddin Razali, tujuh program yang terlibat dalam kursus tersebut adalah Pemesinan Am, Binaan Bangunan, Katering, Elektrik Elektronik, Penyaman Udara, Kimpalan dan Multimedia Kreatif.
Tambah beliau, objektif kursus itu diadakan bagi meningkatkan kompetensi staf melalui pertambahan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang boleh meningkatkan profesionalisme pegawai dalam bidang pendidikan bagi menjamin kualiti pelaksanaan SKM di fakulti.
Modul seperti Pengenalan kepada NOSS, Bahan Pengajaran Bertulis (WIM) Teori, Bahan Pengajaran Bertulis (WIM) Amali dan Pembentangan hasil kerja merupakan antara kandungan yang sampaikan kepada staf yang terlibat.
Manakala kehadiran wakil CIAST pula untuk memberi penerangan berkaitan keperluan format penulisan WIM terkini yang telah digariskan dan WIM yang dibangunkan adalah berkualiti serta menepati standard terkini yang digariskan oleh oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia.
“Diharapkan kursus pembangunan ini bakal memberikan impak tinggi dalam melahirkan staf yang kompeten dan berjiwa pendidik sekali gus membawa UTHM sebagai peneraju TVET bertaraf dunia,” kata Dr. Nizamuddin.