BATU PAHAT – Seramai 40 peserta dari beberapa universiti awam, agensi-agensi kerajaan, pelajar serta staf UTHM mengambil bahagian dalam ‘Bengkel Permainan Irama Gamelan UTHM 2023’ anjuran Jabatan Muzik, Pusat Kebudayaan Universiti (PBU), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 7 dan 8 Ogos 2023 lalu.

Antara universiti awam yang menyertai bengkel yang diadakan di Dewan Sultan Ibrahim itu ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bengkel yang diselaraskan oleh staf PBU, Mohd Nazri Nawi itu bertujuan melengkapkan peserta dengan ilmu seni persembahan gamelan, merangkumi pendedahan kepada teknik permainan, latihan serta gubahan lagu-lagu baharu bagi muzik tersebut.

Bapak Dwiono Hermantoro, panel dari Indonesia telah dijemput khas untuk berkongsi ilmu tentang permainan gamelan.

Hadir sama, Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti, Dr. Mohd Nizam Attan sekali gus merasmikan bengkel yang merupakan program tahunan PBU dan juga termasuk dalam kalendar aktiviti di bawah program Majlis Kebudayaan Universiti- universit Malaysia (MAKUM).

Beliau turut menyampaikan sijil kepada para peserta dan panel jemputan.