BATU PAHAT, 3 Julai 2023 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Bahagian Keselamatan, Pejabat Pendaftar hari ini menerima surat kelulusan dan sijil penubuhan Polis Bantuan dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Majlis Serahan Surat Kelulusan dan Sijil Penubuhan Polis Bantuan tersebut merupakan titik permulaan temeterainya kerjasama dua hala antara UTHM dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, penyerahan surat dan sijil daripada PDRM itu adalah sebagai salah satu inisiatif dalam meningkatkan keselamatan di universiti dan menambah baik lagi perkhidmatan staf keselamatan.

Inisiatif itu bagi memastikan polis bantuan UTHM mempunyai kuasa dan kemahiran yang setara dengan polis PDRM sekali gus membantu pengurusan skuad tersebut untuk lebih proaktif dan berintegriti.

“Kewujudan Polis Bantuan di UTHM ini dilihat dapat meningkatkan rasa selamat khasnya kepada staf, pelajar dan orang awam yang berurusan dengan pihak universiti.

“Selain itu, penubuhan skuad ini juga mampu memberi lebih pendedahan kepada staf dan pelajar berkaitan langkah-langkah pencegahan jenayah dengan lebih efektif dan mematuhi peraturan serta undang-undang negara secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berharap kerjasama tersebut bakal menjadi titik permulaan kepada UTHM dalam mengeratkan lagi hubungan strategik dengan pihak PDRM. 

Majlis turut dihadiri CP Datuk Aidi Ismail, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, SAC Chuah Yong Huat, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontigen Johor serta Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Naib Canselor UTHM, Pegawai-pegawai Kanan Universiti dan PDRM, Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab (PTj) UTHM serta barisan staf dan pelajar SUKSIS UTHM.

Turut diadakan, sesi tandatangan penerimaan syarat-syarat kelulusan dan penerimaan sijil penubuhan polis bantuan UTHM dan juga pelancaran Logo Polis Bantuan UTHM.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 6 Julai 2023: UTHM tubuh skuad polis bantuan

UTHM TUBUH SKUAD POLIS BANTUAN