MUAR, 28 Julai 2023 – Pelaksanaan ‘Bengkel Hidrosegak Herba’ anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memberi galakkan kepada komuniti Felda Lenga, Muar untuk membudayakan pertanian moden dalam kehidupan mereka.

Bagi mengubah lanskap pertanian tradisional, bengkel tersebut memberi pendedahan kepada komuniti berkaitan teknologi hidroponik secara vertikal (menegak) yang menggunakan teknologi Internet of Things (IOT).

Program yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar itu turut dibantu oleh beberapa pakar lain iaitu Dr. Fazleen Izzany Abu Bakar, Dr. Furzani Pa’ee dan Adlil Ikram Sharuddin, Pengurus Syarikat Akaf Agrofarm Anak Kampung.

Menurut Dr. Fadzelly, peserta bengkel dibekalkan dengan pengetahuan menyeluruh mengenai penanaman herba tanpa tanah secara teori dan praktikal.

Tambah beliau, antara herba yang diperkenalkan dalam program tersebut ialah ginseng jawa (Talinum paniculatum), pegaga (Centella asiatica) dan kesum (Polygonum minus).

“Ketiga-tiga tumbuhan ini terbukti mempunyai pelbagai manfaat kesihatan dan sering digunakan dalam masakan tradisional melayu selain dijadikan sebagai ulam.

“Penggunaan teknologi hidroponik secara menegak memastikan penghasilan herba yang berkualiti tinggi dengan nutrien yang optimum,” jelas beliau.

Menerusi bengkel itu, penduduk Felda Lenga berpeluang menerokai kehidupan pertanian terkini untuk pembangunan hasil herba dan ekonomi yang lebih mampan.

Program tersebut turut memberi pendedahan dan pengalaman unik kepada masyarakat setempat tentang cara menyediakan dan menjaga tanaman hidroponik secara menegak, yang tidak hanya lebih efisien dalam penggunaan ruang, tetapi juga mesra alam dan lestari.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FAST, Ts. Dr. Suhadir Shamsuddin hadir menyempurnakan majlis penutup yang diadakan pada hari yang sama.

Beliau dalam ucapannya melahirkan rasa gembira melihat kesungguhan dan minat peserta yang ditonjolkan sekali gus percaya program seumpama itu mampu memberi impak positif dalam memajukan sektor pertanian herba dalam komuniti.

Sementara itu, Ketua Kampung, Rohazid Baki turut menzahirkan rasa bangga beliau kerana program itu berjaya memberi pendedahan kepada komuniti tentang teknologi pertanian moden.

“Penanaman hidroponik menegak ini dapat menyemai semangat dan memberi peluang baharu kepada masyarakat setempat dalam memperkasakan lagi bidang pertanian,” katanya.

Turut hadir, Pengurus Felda Lenga,Ahmad Zuhairi Shabudin dan Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita Felda Lenga, Jaliah Ahmad.

Para peserta turut diberikan sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka dalam menjayakan program yang memperkasa masyarakat setempat.

Untuk rekod, ‘Bengkel Hidrosegak Herba’ merupakan program kerjasama antara FAST dan Pusat Hubungan Komuniti dan Industri (ICRC), UTHM.

Terlaksananya program tersebut menjadi titik permulaan untuk UTHM terus memperkenalkan teknologi pertanian terkini dan budaya pertanian moden khususnya kepada komuniti setempat.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 7 Ogos 2023: Bengkel Hidrosegak Herba galakan komuniti budayakan pertanian moden

https://malaysiagazette.com/2023/08/07/bengkel-hidrosegak-herba-galakan-komuniti-budayakan-pertanian-moden/