Oleh Tuan Mohd Hafeez Tuan Ibrahim

PAGOH, 11 Julai 2023 – Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalinkan kerjasama dengan syarikat Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn. Bhd. bagi menjayakan program ‘Young Talent Development Program: Port Equipment Technician Apprentice’ (PETech).

Kerjasama tersebut melibatkan penempatan pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Diploma Kejuruteraan Elektrik dalam program perantis PTP sebagai sebahagian daripada komponen latihan industri mereka.

Menurut penyelaras program PETech, Tuan Mohd Hafeez Tuan Ibrahim pelajar yang terlibat akan menjalani latihan teknikal dan kemahiran dalam pengendalian peralatan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang merupakan pelabuhan terbesar di negara ini dan antara 15 pelabuhan tersibuk di dunia.

“Selain itu, ilmu tentang kepimpinan dan pengurusan kerja berpasukan juga diterapkan dalam melahirkan Port Equipment Technician yang kompeten,” katanya.

Bagi merealisasikan kerjasama tersebut, pihak PTP yang diketuai Pengurus Bahagian Sumber Manusia, Rosliza Che Wahab telah berkunjung ke UTHM Kampus Cawangan Pagoh bagi mengendalikan sesi penilaian pelajar.

Seramai 21 pelajar telah melalui sesi ujian penilaian yang melibatkan ujian logikal, penguasaan Bahasa Inggeris dan ujian pengetahuan teknikal berkaitan sistem mekanikal dan elektrikal.

Daripada jumlah tersebut, 17 pelajar telah berjaya dalam sesi penilaian yang dibuat dan layak ke fasa seterusnya iaitu sesi temuduga.

Lebih membanggakan, kesemua calon temuduga itu berjaya dan terpilih untuk mengikut program perantis di PTP.

Menurut panel yang terlibat, pelajar UTHM mempunyai pengetahuan yang baik dalam aspek teknikal khususnya yang berkait dengan sistem asas peralatan mekanikal dan elektrikal di pelabuhan selain berperwatakan berani dan menyakinkan.

Pelajar yang terpilih akan memulakan program perantis mereka seiring dengan latihan industri pada bulan Ogos akan datang.

Tambah Mohd Hafeez, UTHM sentiasa komited dalam memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan dan memenuhi permintaan semasa industri.

“Pelaksanaan program tersebut mampu meningkatkan kualiti kebolehpasaran graduan sekali gus memberi impak positif terhadap keterlihatan graduan UTHM.

“Selain itu, jalinan Kerjasama ini juga mampu membuka peluang dan ruang kerjaya yang lebih baik kepada graduan diploma UTHM khususnya dalam sektor industri pelabuhan,” katanya.