Oleh Dr. Norhaidah Mohd Asrah, Prof. Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan, Dr. Sabariah Saharan

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diiktiraf oleh Certiport Authorized Testing Center sebagai 10 pusat terbaik yang menawarkan program latihan pensijilan di Malaysia.

Pengiktirafan tersebut diberikan melalui anugerah Top 10 Malaysia’s Certiport Authorized Testing Centre (CATC) sempena berlangsungnya ‘The Micro-Credentials Education Summit 2023’ (MCES) yang diadakan pada 1 Jun 2023 lalu bertempat di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South, Kuala Lumpur.

Anugerah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Qualifications Agency (MQA), Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran itu diterima oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad selaku wakil UTHM.

Menurut penyelaras Pusat Ujian Certiport, UTHM, Dr. Norhaidah Mohd Asrah, Certiport di bawah syarikat Pearson Vue merupakan penyedia utama dalam pembangunan peperiksaan bagi tujuan pensijilan.

“Rangkaian Certiport diguna secara meluas oleh pusat-pusat latihan pensijilan seluruh dunia.

“Peperiksaan pensijilan yang dijalankan adalah mengikut piawaian global untuk meningkatkan produktiviti individu, daya saing dalam pasaran industri dan memberi nilai tambah dalam pembangunan kerjaya,” jelas beliau.

Akademi Intelek dan Data Analitik (AI.DA), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) menjalankan sepenuhnya program pensijilan profesional menggunakan perkhidmatan Certiport bagi pensijilan Microsoft yang telah ditawarkan sejak kewujudannya pada tahun 2020.

Pada majlis tersebut, dua pelajar UTHM iaitu Muhammad Hamizan Yusof dan Nur Izzati Hasanah Zainal turut menerima anugerah sempena kejayaan mereka dalam Malaysia National Championship 2023 (Microsoft Office Specialist).

Kedua-dua pelajar dari Pusat Pengajian Diploma tersebut meraih tempat kedua dan ketiga bagi kategori Microsoft Word (Office 2019).

Bertemakan ‘Future Proof of Economy,’ MCES anjuran Acestar Sdn. Bhd merupakan satu platform yang unik untuk perkongsian maklumat serta pengetahuan terkini dan lengkap berkaitan kelayakan mikro (micro credential) yang kian diiktiraf di seluruh dunia.

Dalam majlis yang sama, wakil AI.DA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha turut dijemput sebagai salah seorang panel forum yang membincangkan topik ‘Setting a Global Standard: Collaborative Efforts among Universities Created a Top-Tier Testing Center.’

Penganjuran forum tersebut bertujuan memberi manfaat kepada kumpulan sasaran yang terdiri daripada wakil kerajaan, industri, institusi pendidikan serta kumpulan fokus utama iaitu pelajar universiti dan sekolah.

Kupasan forum tersebut membantu pelajar meningkatan kebolehpasaran mereka, menyesuaikan diri dengan permintaan industri dan mempamerkan kepakaran masing-masing kepada bakal majikan.

Untuk rekod, AI.DA telah berjaya menjalankan siri latihan pensijilan profesional sejak tahun 2020 dan kini lebih 800 pensijilan berjaya diperoleh oleh pelajar dan staf di seluruh Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi AI.DA di https://aida.uthm.edu.my/

 

Muhammad Hamizan Yusof (dua dari kanan) memenangi tempat kedua bagi kategori Microsoft Word (Office 2019).
Nur Izzati Hasanah Zainal (dua dari kanan) memenangi tempat ketiga bagi kategori Microsoft Word (Office 2019).
Wakil AI.DA,Prof. Ts. Dr. Aida Mustapha dijemput sebagai panel dalam forum bertajuk ‘Setting a Global Standard: Collaborative Efforts among Universities Created a Top-Tier Testing Center.’