Oleh Dr. Adi Syahid Mohd Ali, Ts Dr. Mohd Azham Azmi, Dr. Nur Ilyani Ramli

KEMAMAN – Projek Keusahawanan Sosial Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih pingat gangsa ketika menyertai Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2023, Kolej Universiti TATI yang diadakan pada 29 dan 30 Mei 2023 lalu.

Pingat tersebut diperoleh melalui projek ‘Mak Janda Johor’ yang bertujuan membantu meningkatkan kapasiti masakan ibu tunggal menjadi sebuah produk makanan menggunakan teknologi retort.

Menariknya, projek yang mendapat tajaan RM18 ribu daripada Yayasan Pelajaran Johor itu merupakan inovasi pelajar KKDK dalam rangka menyelesaikan isu-isu sosial dalam kalangan komuniti.

Menurut Pengetua KKDK, Ts. Dr. Mohd Azham Azmi, pengiktirafan tersebut memberi lebih keyakinan kepada kolej kediaman untuk terus berperanan sebagai entiti penting dalam menyediakan pendidikan tidak formal kepada pelajarnya bagi menjadikan mereka individu yang berdaya saing dan bertanggungjawab.

“Kolej kediaman bukan sahaja menjadi tempat tinggal bagi pelajar, tetapi juga menjadi ruang untuk memupuk semangat keusahawanan sosial dalam kalangan mereka.

“Kami berharap agar lebih banyak pelajar kolej kediaman dapat memberikan idea-idea baharu dalam menyelesaikan isu sosial setempat dan isu-isu yang berkaitan dengan kolej kediaman itu sendiri,” katanya.

Sementara itu penasihat projek, Dr. Adi Syahid Mohd Ali pula merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Pelajaran Johor kerana banyak memberi sokongan dalam menjayakan projek tersebut.

“Dengan bantuan dana yang diberikan, pihak kami dapat melaksanakan program-program yang lebih berkesan dan memberikan impak yang besar kepada golongan ibu tunggal di Johor, khususnya Batu Pahat,” katanya.

Projek Keusahawanan Sosial KKDK merupakan contoh inisiatif yang memperlihatkan komitmen kolej kediaman dan universiti dalam memberi ruang kepada pelajar untuk berinovasi dan berkerjasama dengan masyarakat melalui keusahawanan sosial.

KKDK berharap projek tersebut dapat menjadi inspirasi kepada kolej kediaman dan universiti lain dalam merancakkan lagi aktiviti keusahawanan yang boleh memberi manfaat kepada komuniti setempat.