Oleh Mustaffa Anjang Ahmad, Nazirah Mohamad Abdullah

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan satu kursus asas penentuan arah kiblat sempena ‘National Training Week (NTW) 2023’ pada 28 Mei 2023 lalu secara dalam talian.

Kursus yang disampaikan oleh Profesor Madya. Sr Dr. Mustaffa Anjang Ahmad dari FKAAB dan dibantu oleh moderator Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi itu bertujuan untuk memberi pendedahaan kepada komuniti berkaitan kaedah-kaedah penentuan arah kiblat.

Kursus tersebut melibatkan penyertaan lebih 80 peserta dari seluruh daerah Batu Pahat.

Menurut Dr. Mustaffa yang juga Ketua Center of Applied Geomatics and Disaster Prevention (CAGeD), kursus tersebut juga diadakan kerana rasa tanggungjawab ingin berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki bersama komuniti untuk manfaat bersama.

“Sebelum ini hasil pemeriksaan Persatuan Falak Negeri Selangor mendapati daripada 5,000 kediaman atau premis yang diperiksa, 2,000 daripadanya menggunakan arah kiblat yang kurang tepat.

“Walaupun ianya tidak berlaku di negeri Johor tetapi pihak Jabatan Agama Islam Johor telah mula menggerakkan kempen semakan arah kiblat sejak awal Mei lalu dengan fasa pertama melibatkan premis kerajaan dan sekolah di 10 daerah negeri Johor,” katanya.

Arah kiblat dalam Islam bermaksud tubuh badan seseorang menghadap ke arah Kaabah yang terletak di Makkatul Mukarramah.

Ia merupakan arah hadap umat Islam untuk menyempurnakan ibadat tertentu seperti Solat, membaca al-Quran, penyembelihan korban, perkuburan Islam dan lain lain ibadat sunat.

Berijtihad arah kiblat perlu dilakukan bagi menentukan kiblat masjid, surau dan tempat yang hendak dilakukan solat.

Tambah Dr. Mustaffa, bagi penduduk Malaysia penentuan arah kiblat dilakukan dengan perhitungan falak dan penggunaan peralatan seperti kompas prismatik dan total station.

“Arah kiblat juga boleh ditentukan berdasarkan kedudukan matahari dan bintang-bintang di langit yang telah lama diamalkan oleh umat Islam seluruh dunia.

“Bagi negara Malaysia arah kiblat ke Kaabah adalah dari arah 290–292 darjah mengikut lokasi paling selatan di Johor dan paling utara di Tawau,” katanya.

Bagi mendapatkan arah kiblat, beberapa kaedah boleh digunakan iaitu kaedah kiraan matematik, kedudukan bintang, matahari terbenam dan juga bayang matahari, peralatan kompas prismatik dan total station, melalui peristiwa Istiwa A’zham, dan dengan menggunakan aplikasi Android.

Jelas beliau, peristiwa Istiwa A’zham berlaku pada 28 Mei dan 16 Julai setiap tahun.

Pada ketika waktu zohor di Mekah kedudukkan matahari ketika itu adalah berada di atas Kaabah dan bayang sesuatu objek di seluruh dunia akan menunjukan ke arah Kaabah.

Kejadian ini berlaku pada jam 5:18 petang pada 28 Mei 2023 yang lepas dan 5:27 petang pada 16 Julai 2023 akan datang.

“Kita boleh melihat bayang matahari dengan melihat bayang tingkap di kediaman masing-masing pada Ketika itu.

“Ini adalah peluang bagi kita untuk menyemak arah kiblat dengan mudah tanpa menggunakan kaedah yang lain,” katanya.

Beliau berharap penerangan kaedah penentuan arah kiblat itu dapat membantu peserta untuk menyemak arah kiblat di premis dan kediaman mereka.

Teknologi dan kaedah yang diamalkan pada masa ini adalah hasil dari penambahbaikan daripada kaedah-kaedah lama atau yang terdahulu.

Beliau dan FKAAB juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk mengimarahkan lagi program seumpama itu.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 8 Jun 2023: FKAAB UTHM anjur kursus semak arah kiblat

FKAAB UTHM ANJUR KURSUS SEMAK ARAH KIBLAT