UTHM terima kemasukan 775 pelajar baharu program sarjana muda

BATU PAHAT, 27 Mac 2023 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini mencatatkan rekod kemasukan 775 pelajar baharu program sarjana muda bagi semester dua, sesi pengajian 2022/2023.

Pendaftaran pelajar baharu melibatkan tujuh fakulti itu dibuat secara dalam talian bermula pada 18 Mac 2023 lalu.

Kesemua pelajar baharu di kampus induk akan mengikuti sesi perkuliahan sesi 2022/2023 bermula 27 Mac sehingga 3 Mei 2023 secara dalam talian dan diikuti secara fizikal pada minggu kelapan iaitu bermula pada 14 Mei 2023.

Terdahulu, mereka perlu mengikuti Minggu Haluan Siswa yang berlangsung selama lima hari bermula 18 hingga 22 Mac lalu.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Azme Khamis dalam satu kenyataan, kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk pelajar di kampus induk pada semester ini adalah secara dalam talian dan diikuti secara fizikal.

“Kaedah pelaksanaan PdP melibatkan pelajar baharu dan pelajar kanan ini dibuat kerana mengambil kira situasi semasa kawasan Parit Raja yang baharu sahaja dilanda bencana banjir,” katanya.

Manakala bagi pelajar yang ditempatkan di kampus Pagoh pula, PdP dilaksanakan secara fizikal dan diberi kelonggaran menjalani PdP secara dalam talian pada minggu kelima dan keenam sesi perkuliahan.

“Kelonggaran ini diberi bagi memudahkan pelajar menghadapi sesi kuliah di kediaman masing-masing tanpa perlu kembali ke kampus selepas cuti Hari Raya Aidilfitri sehingga cuti pertengahan semester yang bermula pada 7 Mei hingga 13 Mei 2023,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim turut mengucapkan tahniah kepada pelajar yang baharu sahaja mendaftarkan diri di UTHM.

“Saya amat berharap anak-anak pelajar dapat menggunakan peluang menyambung pelajaran di UTHM ini dengan sebaik mungkin dan cepat membiasakan diri dengan budaya pembelajaran di kampus sekali gus berjaya menggengam segulung ijazah kelak,” katanya.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 28 Mac 2023: UTHM terima 775 pelajar baharu program sarjana muda

UTHM terima 775 pelajar baharu program sarjana muda

Categories
Keratan Akhbar 2023Latest News
Subscribe