Oleh Farhawahidah Ahmad Puad

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai Pusat Sukan Tumpuan Mendayung Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi tahun 2023 hingga 2025.

Pengiktirafan yang diberikan merupakan satu penghargaan kepada UTHM yang sebelum ini telah mencipta pelbagai kejayaan dalam sukan mendayung peringkat IPT, kebangsaan dan antarabangsa.

Pemilihan itu juga berdasarkan beberapa kriteria seperti kemudahan sedia ada, faktor sumber manusia yang merujuk kepada tenaga kepakaran, kejurulatihan dan kepegawaian serta sokongan padu daripada pihak pengurusan IPT.

Selain itu, perwujudan program itu merupakan salah satu usaha untuk membangunkan sukan di IPT dengan lebih sistematik dan teratur serta melahirkan generasi “The Thinking Athlete”.

Program Pembangunan Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) dan Pusat Sukan Tumpuan (PST), IPT itu telah bermula pada tahun 2010 di bawah Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT).

DPSIPT bukan hanya bertujuan untuk melahirkan atlet di IPT dan negara malah menyediakan peluang pendidikan bagi atlet sebagai penjana dalam melahirkan produk “The Thinking Athlete” yang mempunyai nilai pasaran dan dapat dikomersialkan hingga ke peringkat antarabangsa.

UTHM berharap lantikan itu akan menjadi satu suntikan semangat dan motivasi dalam memperkasakan sukan mendayung hingga ke peringkat tertinggi selain melahirkan para atlet negara yang berkualiti.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 30 Mac 2023: UTHM dilantik sebagai Pusat Sukan Tumpuan Mendayung

https://malaysiagazette.com/2023/03/30/uthm-dilantik-sebagai-pusat-sukan-tumpuan-mendayung/

 

2. Sin Chew Daily (Johor) (page: 5), 31 March 2023: UTHM named canoe polo hub by MOHE