Keterjaminan makanan merupakan isu penting di Malaysia, dengan kerajaan berusaha memastikan penduduk negara mendapat akses kepada makanan yang selamat, berkhasiat dan berpatutan. Sebagai sektor pengeluar makanan utama negara, sektor pertanian bertanggungjawab untuk memastikan bekalan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat untuk penduduk Malaysia. Sektor pertanian telah memainkan peranan penting dalam sejarah ekonomi Malaysia dan terus menjadi salah satu sektor utama dalam ekonomi negara. Pada awal kemerdekaan Malaysia, sektor pertanian memberikan sekitar 41 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menyerap hampir 60 peratus daripada tenaga buruh. Pada tahun 2020, sektor pertanian menyumbang sekitar 7 peratus kepada KDNK negara dengan nilai eksport sekitar RM65.4 bilion melalui produk-produk seperti getah, sawit, koko dan buah-buahan.

Era pandemik (2020-2021) mendedahkan kerapuhan keterjaminan makanan negara. Walaupun gejala ini melanda kebanyakan negara di dunia, tetapi Malaysia sepatutnya mampu meminimumkan impak pandemik kepada bekalan makanan tempatan jika pengeluaran mencukupi dan sistem rantaian bekalan yang cekap dan berdaya tahan. Sebaliknya berlaku, iaitu bekalan makanan dalam negeri terjejas dengan serius kerana kapasiti pengeluaran yang lemah, gangguan dalam rantaian bekalan dan kenaikan kos pengeluaran yang sangat tinggi.

Seiring dengan kemajuan ekonomi dan pertumbuhan sektor lain seperti industri dan perkhidmatan, sumbangan sektor pertanian terhadap KDNK dilihat semakin menurun. Bukan itu sahaja, sektor pertanian di Malaysia juga menghadapi pelbagai cabaran seperti masalah produktiviti, kekurangan tenaga kerja mahir, cabaran iklim dan persekitaran, serta masalah kewangan dan pemasaran. Data menunjukkan import makanan negara meningkat daripada RM51 bilion pada tahun 2019 kepada RM63 bilion pada tahun 2021 iaitu peningkatan 20 peratus. Nyata bahawa kapasiti pengeluaran makanan tempatan adalah tidak dapat memenuhi penggunaan yang kian meningkat kerana pertambahan penduduk dan perubahan gaya hidup. Selain itu, pergantungan kepada import makanan bukan pilihan terbaik apabila negara-negara pengeluar makanan mengutamakan keperluan untuk memenuhi permintaan makanan untuk negara masing-masing. Pengurangan eksport oleh negara-negara berkaitan akhirnya mempengaruhi harga produk makanan tersebut di negara kita.

Dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti, kualiti serta keselamatan produk pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia pada 2002 telah melancarkan Amalan Pertanian baik (APB) atau lebih dikenali sebagai Good Agricultural Practices (GAP) yang mesra alam sekitar dalam pengurusan ladang melalui penggunaan teknologi moden. Antara inovasi teknologi yang telah diperkenalkan adalah automasi, internet of thing (IoT) dan teknologi blockchain. Kaedah automasi digunakan untuk meningkatkan kecekapan dalam pengeluaran pertanian, daripada penanaman benih hingga penuaian. Sebagai contoh, mesin penuai robot dibangunkan untuk memetik buah-buahan seperti durian dan buah kelapa sawit, yang boleh menjadi sukar dan memerlukan tenaga kerja untuk menuai secara manual. Penggunaan Internet of Things (IoT) membantu petani memantau dan mengawal pelbagai aspek pengeluaran pertanian. Sebagai contoh mengawal kelembapan tanah dapat membantu petani membuat keputusan yang lebih baik tentang masa untuk menanam, mengawal pengairan dan menyuburkan tanaman mereka. Manakala Untuk pemantauan ladang, penggunaan dron menjadi kaedah yang mula diterima dan diguna pakai dalam pertanian. Ini bagi meninjau persekitaran, memantau hasil pertanian juga boleh digunakan untuk kerja-kerja penyemburan baja, racun makhluk perosak serta menghindarkan haiwan perosak memasuki ladang. Teknologi blockchain digunakan untuk meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan dalam rantaian bekalan pertanian. Ini boleh membantu mengurangkan penipuan, meningkatkan keselamatan makanan dan meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk pertanian. Ruang lingkup digital menggalakkan petani menjalankan aktiviti DIY (do-it-yourself) atau belajar untuk lakukan sendiri untuk kegunaan sendiri. Malah dari DIY ini juga mampu membentuk masyarakat berpemikiran dan berbudaya keusahawanan yang bermula daripada perniagaan secara kecil-kecilan untuk meningkatkan pendapatan keluarga serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Sektor pertanian masih mempunyai peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat di Malaysia. Sektor ini menggaji sekitar 10 peratus daripada tenaga kerja negara dan memberikan sumbangan terhadap ekonomi luar bandar terutama dalam kalangan petani kecil dan pengusaha sederhana. Satu faktor utama dalam mencapai kelestarian sektor pertanian ialah melalui pembangunan dan latihan tenaga kerja yang berkemahiran dalam sektor pertanian. Program TVET menawarkan pendidikan dan latihan dalam bidang pertanian seperti pengeluaran tanaman, pengurusan ternakan, dan pengendalian lepas tuai, dilihat boleh membantu meningkatkan produktiviti dan meningkatkan kualiti dan kuantiti makanan yang dihasilkan di Malaysia. Program seumpama ini mampu menyediakan individu dengan kemahiran praktikal dan pengetahuan teori yang mereka perlukan untuk berjaya dalam sektor pertanian.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan Malaysia telah menumpukan usaha mempromosikan pertanian bernilai tinggi, termasuk pengeluaran tanaman organik dan pembangunan agropelancongan. Di sebalik usaha ini, masih terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan pelaburan dalam program TVET dalam sektor pertanian di Malaysia. Program TVET yang terancang dan tersusun dilihat boleh membantu mempromosikan amalan pertanian mampan, yang penting untuk keselamatan makanan jangka panjang. Dengan mendedahkan individu tentang teknik pertanian mampan, program TVET turut mampu menyumbang kepada pengurangan kesan alam sekitar hasil daripada aktiviti pertanian dan memastikan sektor tersebut dapat memenuhi keperluan generasi akan datang.

Institut Penyelidikan seperti Malaysia Research Institute for Vocational Education and Training (MyRIVET) mempunyai misi yang penting dalam membantu negara dalam memastikan sektor pertanian negara kekal mampan dan lestari melalui program TVET.  MyRIVET boleh menjalankan penyelidikan untuk mengenal pasti kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menyokong keselamatan makanan dalam pelbagai sektor industri pertanian dan kemudian membangunkan program TVET yang menyediakan individu dengan kemahiran dan kecekapan yang diperlukan. Program ini boleh direka bentuk untuk memenuhi keperluan pihak berkepentingan yang berbeza, termasuk usahawan tani berskala kecil, perniagaan tani dan agensi kerajaan. Antara kaedah yang boleh diguna pakai dalam pembangunan program adalah melalui kerjasama dengan persatuan industri dan majikan untuk mengenal pasti jurang pengetahuan dan kemahiran yang wujud dalam sektor pertanian. Ini boleh membantu memastikan individu yang menyertai program memperoleh kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan majikan dan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor pertanian.

MyRIVET boleh membangunkan perkongsian dengan organisasi dari dalam mahupun luar negara yang terlibat dalam pertanian dan keselamatan makanan, untuk berkongsi pengetahuan dan bekerjasama dalam menjalankan penyelidikan serta pembangunan teknologi baharu pertanian. Buat masa ini, MyRIVET telah menjalankan penyelidikan bersama berkaitan program TVET daripada pelbagai negara termasuk Jerman, Thailand dan Indonesia. Hasil penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu pertanian yang dijalankan mampu membantu negara dalam merangka strategi, dasar ataupun polisi berkaitan sektor pertanian seterusnya menyumbang kepada keterjaminan makanan di Malaysia.

 

 

 

Oleh:

Prof. Madya Dr. Badaruddin bin Ibrahim (penulis utama)

Prof. Emeritus Dr. Jailani bin Md Yunos (penulis utama)

Prof. Datin Paduka Fatimah binti Mohamed Arshad

Prof. Dr. Abdul Mutalib bin Leman

Prof. Dr. Asan Ali Golam bin Hassan @ Mohamad

Malaysia Research Institute for Vocational Education and Training (MyRIVET)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 28 Mac 2023: Peranan TVET dalam keterjaminan makanan

Peranan TVET dalam keterjaminan makanan