Kewujudan teknologi kecerdasan buatan yang lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) seumpama ChatGPT akan terus mempengaruhi lanskap akademik terutamanya dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) dan penyelidikan di institusi pendidikan tinggi (IPT). Apatah lagi ketika industri hari ini turut berkembang dengan adaptasi aplikasi teknologi kecerdasan buatan untuk bersaing meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produktiviti pengeluaran.

Seiring dengan perkembangan aplikasi teknologi kecerdasan buatan pada hari ini, telah tiba masanya ahli akademik di IPT untuk mengambil inisiatif menambah baik PdP sedia ada secara serius. ChatGPT dan perisian kecerdasan buatan seumpamanya bukanlah suatu cabaran baharu, malahan aplikasi ini telah mendapat tempat dalam industri untuk mengautomasi aktiviti rutin.

Persoalan utama yang menjadi tema perbincangan ketika ini ialah bagaimana warga IPT, khususnya pelajar dan ahli akademik harus mendepani perkembangan inovasi AI seumpama aplikasi ChatGPT dalam dunia pendidikan?

Beberapa isu terkait penambahbaikan PdP perlu diberi perhatian segera di setiap IPT untuk berdepan dengan aplikasi teknologi AI seperti ChatGPT:

  • Mempergiat program kesedaran sebagai dinding pertahanan utama. Adalah penting untuk ahli akademik dan pelajar dididik tentang kelebihan dan kelemahan kandungan hasil kerja daripada aplikasi AI.
  • Mengaplikasi pentaksiran alternatif yang lebih kreatif dan tulen. Penggunaan pentaksiran autentik yang melibatkan persekitaran masalah dunia sebenar seperti dalam komuniti dan industri merupakan kaedah yang dapat menggalakkan pembudayaan aktiviti meneroka dan menyelidik secara beretika dan bukannya sekadar duduk berinteraksi dengan ChatGPT.
  • Menggalakkan inisiatif perkembangan penyelidikan aplikasi AI dalam akademik. Malahan terdapat penyelidikan dan inovasi hari ini sedang dihasilkan untuk mengesan hasil kerja aplikasi AI, seperti GPTZero.
  • Melihat cabaran sebagai peluang dalam fasa beradaptasi dengan aplikasi AI. Ahli akademik perlu memanfaatkan potensi teknologi AI untuk menggalakkan lebih banyak inovasi dapat dihasilkan dalam aktiviti PdP.
  • Memperkasa kaedah berpegang kepada prinsip etika profesional dalam bidang akademik. Sekiranya elemen integriti dijadikan budaya, pelajar dan para ilmuan akan dapat menggunakan perkakasan AI dengan tujuan yang lebih rasional dan tepat.

Aplikasi AI seperti ChatGPT seharusnya dilihat sebagai pemangkin perubahan dalam PdP. Adalah lebih praktikal untuk warga IPT memanfaatkan peluang dalam aplikasi AI menerusi pembudayaan aktiviti meneroka dan sikap ingin tahu. Seharusnya pengalaman pendidikan di IPT menyediakan graduan tersedia masa hadapan yang dapat menyesuaikan diri dengan cabaran kerjaya dalam dunia realiti.

 

 

Prof. Madya Dr. Noor Azah Samsudin

Timbalan Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik dan Dasar

Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Dr. Shamsul Kamal Ahmad Khalid

Ketua Program Sarjana Keselamatan Maklumat

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)