John Dewey (Dewey) merupakan pakar falsafah, ahli psikologi dan bertanggungjawab membawa pembaharuan serta memajukan pendidikan moden. Beliau diberi gelaran ‘Bapa Pemodenan Pendidikan’ yang berperanan penting tentang pergerakan progresif dalam pendidikan. Sepanjang hidupnya, beliau bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk memajukan pemahaman masyarakat mengenai sistem pendidikan yang memfokuskan pelajar dan caranya berfungsi.

“Saya percaya bahawa pendidikan adalah proses hidup dan bukan penyediaan untuk kehidupan masa depan.” – John Dewey (1897).

Demikianlah yang telah disampaikan oleh Dewey tentang falsafah dan kepercayaannya terhadap dunia pendidikan. Dewey merupakan pendidik Amerika yang melahirkan pragmatisme; pemikiran falsafah yang popular pada awal abad ke-20. Beliau dengan yakin mempercayai bahawa pendidikan terbaik melibatkan pengajaran dan pembelajaran melalui perbuatan (learning-by-doing). Dilahirkan pada 20 Oktober 1859 di Burlington, Vermont dan meninggal dunia pada 1 Jun 1952 di Bandar Raya New York, Amerika Syarikat pada usia 93 tahun. Lebih 700 artikel ilmiah dan 42 buah buku telah dihasilkannya yang sehingga kini masih lagi menjadi rujukan kepada pendidik dan penyelidik seluruh dunia. Artikel ini akan terus mengupas tentang kepentingan peranan ideologi, pragmatisme dan falsafah John Dewey yang mengubah dunia pendidikan daripada kaedah tradisional kepada moden.

Kepentingan dan Sumbangan John Dewey dalam dunia Pendidikan

Sepanjang hayatnya, Dewey banyak menulis dan mengkritik pendapat orang lain tentang dunia pendidikan dan berpendapat pendidikan dan pembelajaran bukan hanya tertakluk dalam konteks antara guru dan pelajar, malah jauh lebih besar daripada itu. Antara sumbangan pentingnya dalam pembentukan dunia pendidikan, yang pertama ialah sekolah menjadi institusi sosial, yang boleh dan harus berfungsi untuk menggalakkan provokasi dalam kalangan murid serta membentuk masyarakat yang lebih baik.  Pelajar pasif digalakkan berinteraksi berdasarkan kurikulum yang disediakan dan mengambil bahagian dalam pembelajaran mereka sendiri. Dewey percaya dengan kaedah ini, ia akan dapat meningkatkan pemahaman murid dan peranan sosial mereka jauh lebih berkesan dengan berani bersuara bertanyakan sesuatu yang mereka tidak fahami, meluahkan pendapat atau rasa tidak puas hati terhadap sesuatu yang dipelajari di dalam bilik darjah, dan perbincangan sesama pelajar. Ini membolehkan mereka menjadi jauh lebih baik dan mampu berinteraksi dengan masyarakat keseluruhannya. Beliau mencadangkan supaya pengajaran dan pembelajaran berlaku secara dua hala serta melalui perbuatan. Menurutnya, sekolah bukanlah tempat untuk mempelajari fakta dan nombor semata, tetapi juga tempat mempelajari tentang cara hidup. Hal itu tidak terhad untuk mempelajari satu set kemahiran tertentu seperti contoh kemahiran tambah, tolak, darab dan bahagi, (walaupun itu membantu juga) tetapi juga untuk merealisasikan bakat dan potensi dengan mencungkil potensi penuh seseorang individu menggunakan ilmu yang dipelajari untuk kebaikan pada masa hadapan. Kajian menunjukkan proses pembelajaran individu akan menjadi lebih baik sekiranya mereka terlibat secara aktif.

Keduanya, Dewey menyangkal sistem persekolahan yang terlalu bertunjangkan kurikulum semata yang mana sistem tersebut tidak mampu melahirkan murid yang aktif dan bijak pada masa hadapan. Beliau turut percaya sekiranya sistem yang terlalu tertumpu kepada murid dan pengalaman mereka juga memudaratkan dalam proses pembelajaran. Kaedah yang terbaik adalah dengan mengimbangi kedua-dua sistem tradisional dan moden serta mengolah kedua-dua sistem pembelajaran iaitu, sistem satu hala dan sistem multi dimensi. Hal terpenting dalam sistem pembelajaran ialah kandungan yang mesti dibentangkan kepada murid supaya maklumat yang dipelajari itu sebenarnya berkait dengan pengalaman terdahulu mereka. Kepercayaan dan keseimbangan antara dua falsafah mesti ditemui.

Sumbangan seterusnya yang boleh dibincangkan ialah perkenalan kepada Pembelajaran Berasaskan Masalah yang sangat popular dalam dunia pendidikan moden sebagai pengganti kaedah pembelajaran tradisional. Pembelajaran ini mendorong guru dan murid mewujudkan pembelajaran secara langsung dan interaktif kerana beliau percaya bahawa melalui interaksi antara guru dan murid terhadap benda-benda semula jadi membolehkan murid belajar dengan sebaik-baiknya berbanding pemikiran secara abstrak atau menerima bulat-bulat pembelajaran yang dilaksanakan secara satu hala. Menerusi cara ini, murid menerima pelajaran secara aktif dan jika soalan-soalan yang diperbincangkan dalam sesi pembelajaran ditanya dengan betul, maka murid mudah untuk menjawab dengan sendirinya berdasarkan pengalaman mereka sendiri.

Pembelajaran berasaskan pengalaman ialah suatu proses pembelajaran menerusi refleksi perlakuan. Segala bentuk pengalaman yang dilalui dan dialami oleh individu atau pelajar dipindahkan dalam bentuk pengetahuan. Teori pembelajaran berasaskan pengalaman menyediakan sebuah model pembelajaran yang holistik dan model multi dimensi untuk perkembangan remaja selaras ke arah pembinaan tentang cara individu belajar, membesar dan berkembang. Pembelajaran ini mengandaikan bahawa pembelajaran sebagai sebuah proses, sementara pengetahuan diperoleh menerusi pembentukan pengalaman. Pembelajaran ini dikenali sebagai kaedah pembelajaran yang meninggalkan kesan pembelajaran kepada individu secara keseluruhan melibatkan perasaan dan tingkah laku serta aspek kognitif. Kajian lampau mendapati bahawa proses pembelajaran seseorang individu akan menjadi lebih baik dan berkesan sekiranya mereka mengambil bahagian dan terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Kaedah pengajaran tradisional secara ‘chalk and talk’ dikatakan ketinggalan zaman dan kurang memberi impak maksimum kepada tahap perkembangan kognitif, psikomotor dan afektif pelajar. Oleh itu, pembelajaran berasaskan pengalaman merupakan pembelajaran secara keseluruhan individu yang mencangkupi ketiga-tiga aspek domain iaitu, kognitif, psikomotor dan afektif. Ia berfungsi mengintegrasi dan manggabungjalinkan nilai serta perlakuan dengan aspek kognitif individu dalam proses pembelajaran.

Dewey mempelopori idea bahawa para guru dianggap sebagai pekerja sosial ditugaskan untuk mewujudkan hal-hal berkaitan sosial dan psikologi untuk mempromosikan kemajuan masyarakat masa kini dan masa depan. Guru berperanan untuk meningkatkan kecerdasan masyarakat, memaksimumkan sistem sekolah dan berusaha mengoptimumkan peluang untuk pelajar memperoleh kecerdasan. Kanak-kanak perlu diberi ruang untuk berfikir secara kreatif kerana kaedah tersebut mampu menjadikan otak mereka berkembang dengan lebih cepat. Untuk membolehkan murid menjadi kreatif, guru perlu menjadi kreatif dan mahir mewujudkan suasana yang interaktif. Dalam erti kata lain, untuk membolehkan murid belajar dengan kaedah yang berbeza, guru juga perlu diajar dengan cara yang berbeza. Ini bermaksud, guru tidak hanya mengajar murid satu set kemahiran mudah seperti contoh pecahan, teori fizik, tetapi juga perlu belajar bagaimana untuk belajar mengikut personaliti murid itu sendiri kerana setiap murid mempunyai keperibadian yang berbeza. Dewey menekankan bahawa guru bukanlah sekumpulan pekerja yang hanya berkemahiran mekanik, tetapi harus mempunyai cinta semula jadi untuk bekerja dengan anak-anak dan kecenderungan semula jadi untuk bertanya tentang sesuatu subjek untuk memudahkan kefahamannya, dan keinginan untuk berkongsi perkara yang telah mereka pelajari dan cara mempelajarinya.

Pemikiran Dewey kebanyakannya mengenai pendidikan pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Namun demikian, dunia hari ini masih belajar daripada penulisannya serta mengaplikasikan dan merealisasikan falsafah beliau dalam dunia pendidikan moden. Teknologi dan masyarakat bergerak begitu pantas sehingga mendesak masyarakat untuk sentiasa mengejar kemahiran teknikal yang diperlukan. Kemahiran multi dimensi perlu diterapkan di peringkat sekolah rendah agar murid terbiasa dengan pendedahan teknologi-teknologi baharu yang berkembang pesat. Dikhuatirkan jika murid hanya diajar tentang kemahiran teknikal yang diperlukan, apabila tiba masa menggunakan kemahiran tersebut, sesetengah akan usang sebelum murid itu meninggalkan sekolah. Falsafah pendidikan Dewey menggalakkan pembelajaran yang berterusan berpaksikan pandangan psikologi mengenai keupayaan, minat, dan tabiat individu tersebut. Ini membolehkan individu tersebut untuk terus belajar dan mampu mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Anim Zalina Azizan

Pensyarah Kanan / Penyelidik

Kumpulan Fokus Technology & Innovation Management

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 2 Januari 2022: https://malaysiagazette.com/2023/01/02/pemikiran-dewey-dalam-pembentukan-dunia-pendidikan-moden/

2. Utusan Malaysia (muka surat: 19), 27 Januari 2023:

3. Utusan (utusan.com.my), 27 Januari 2023: https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/01/pemikiran-dewey-relevan-dalam-dunia-pendidikan-moden/

4. Melaysiakini (melaysiakini.com), 27 Januari 2023: https://www.melaysiakini.com/pemikiran-dewey-relevan-dalam-dunia-pendidikan-moden-75128.html