Ketibaan Ramadan lazimnya disertai dengan perubahan ketara dalam corak kehidupan sosial masyarakat. Institusi masjid dan surau kembali diimarahkan, aktiviti kebajikan dipergiat dan ekonomi bermusim seperti bazar Ramadan berkembang pesat sebagai ruang interaksi komuniti serta peluang keusahawanan kecil.

Namun di sebalik dinamika positif ini, wujud satu paradoks yang semakin ketara, iaitu peningkatan lambakan sisa pepejal khususnya sisa makanan sepanjang bulan tersebut. Ironinya, Ramadan sebagai bulan yang menekankan nilai kesederhanaan (wasatiyyah), disiplin diri dan pengawalan nafsu penggunaan sering kali beriringan dengan peningkatan amalan konsumerisme makanan pada peringkat isi rumah dan komuniti.

Laporan oleh pihak pengurusan sisa menunjukkan bahawa jumlah sisa pepejal yang dikutip sepanjang Ramadan cenderung meningkat berbanding bulan-bulan biasa, terutamanya di kawasan bandar. Dalam komposisi sisa pepejal domestik negara pula, sisa makanan dianggarkan merangkumi bahagian terbesar daripada jumlah keseluruhan sisa yang dilupuskan.

Fenomena ini boleh diterjemahkan melalui kerangka tingkah laku pengguna dan struktur pasaran bermusim. Dari perspektif ekonomi tingkah laku, keputusan pembelian makanan yang dibuat dalam keadaan fisiologi lapar sebelum waktu berbuka berpotensi meningkatkan kecenderungan terhadap pembelian secara impulsif dan berlebihan. Dalam konteks bazar Ramadan pula, peniaga beroperasi dalam keadaan ketidakpastian permintaan harian, sekali gus mendorong strategi penyediaan stok melebihi keperluan bagi mengelakkan risiko kehabisan jualan. Lebihan makanan yang tidak terjual akhirnya diterjemahkan sebagai sisa di peringkat hiliran rantaian bekalan.

Hakikat ini memperlihatkan bagaimana kecenderungan terhadap pembaziran (israf) boleh berlaku tanpa disedari, walaupun dalam bulan yang secara asasnya mendidik umat Islam tentang nilai pengawalan diri dan penggunaan berhemah.

Implikasi fenomena ini tidak terhad kepada isu pengurusan sisa semata-mata, tetapi turut melibatkan dimensi kelestarian alam sekitar dan perubahan iklim. Sisa makanan yang dilupuskan di tapak pelupusan akan mengalami pereputan anaerobik dan menghasilkan gas metana, sejenis gas rumah hijau yang mempunyai potensi pemanasan global jauh lebih tinggi berbanding karbon dioksida dalam jangka masa panjang. Secara global, sisa makanan dianggarkan menyumbang sebahagian signifikan daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau dunia.

Dalam konteks Malaysia, peningkatan bermusim dalam penjanaan sisa makanan berpotensi menambah tekanan terhadap kapasiti tapak pelupusan sedia ada serta meningkatkan kos operasi pengurusan sisa oleh pihak berkuasa tempatan. Pembaziran makanan juga secara tidak langsung mencerminkan pembaziran sumber asli lain seperti air, tenaga dan input pertanian yang digunakan sepanjang rantaian pengeluaran makanan.

Pelbagai langkah dasar telah diperkenalkan bagi menangani isu ini, termasuk pelaksanaan pengasingan sisa di punca serta kempen kesedaran awam di bawah kerangka Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007. Pendekatan ekonomi kitaran turut diberi penekanan melalui pembangunan fasiliti ‘Waste-to-Energy’ dan pelaksanaan projek kompos komuniti di beberapa kawasan.

Selain intervensi dasar, inisiatif masyarakat sivil seperti program penyelamatan makanan turut dilaksanakan bagi mengagihkan lebihan makanan kepada golongan memerlukan. Walau bagaimanapun, usaha tersebut masih bersifat setempat dan memerlukan penyelarasan institusi yang lebih sistematik bagi memastikan impak yang lebih meluas.

Sehubungan itu, pendekatan bersepadu yang menggabungkan reformasi tadbir urus bazar Ramadan, insentif kepada peniaga untuk mengurangkan lebihan makanan, pembangunan platform digital bagi padanan lebihan makanan dengan badan kebajikan, serta pengukuhan norma sosial terhadap larangan pembaziran amat diperlukan.

Perubahan dalam struktur pasaran perlu disertai dengan transformasi norma penggunaan dalam kalangan masyarakat. Ramadan tidak seharusnya dilihat sebagai musim peningkatan konsumsi makanan, tetapi sebagai ruang pembentukan disiplin penggunaan yang lebih lestari dan bertanggungjawab selaras dengan prinsip maqasid syariah dalam pemeliharaan sumber (hifz al-mal) dan kesejahteraan awam.

Secara keseluruhannya, lambakan sisa makanan semasa Ramadan mencerminkan cabaran yang lebih luas berkaitan pengurusan sumber dan tingkah laku konsumerisme dalam masyarakat moden. Tanpa perubahan sistemik ke arah ekonomi kitaran dan pembudayaan amalan penggunaan berhemah, peningkatan bermusim ini akan terus memberi tekanan terhadap kelestarian alam sekitar serta kewangan awam.

 Ramadan seharusnya menjadi madrasah kesederhanaan yang mendidik kita mengurangkan pembaziran, bukan musim yang menyaksikan peningkatan pelupusan.

 

 

 

Dr. Nor Kamariah Kamaruddin

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Mohd Zulkernain Iskandar bin Ramlee

General Manager

ZARR Plantations Sdn. Bhd.

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 26), 6 Mac 2026: Kesan bazir makanan lebih teruk daripada yang disangka 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 6 Mac 2026: Kesan bazir makanan lebih teruk daripada yang disangka

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2026/03/kesan-bazir-makanan-lebih-teruk-dari-yang-disangka/