Utusan Malaysia, 19 Januari 2023:
PETALING JAYA: Bangunan-bangunan terbiar yang berada di sekitar Malaysia perlu dibangunkan semula kerana ia memberi cerminan negatif mengenai pengurusan dan kerajaan menerima tempias daripada pandangan buruk tersebut.
Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Norwati Jamaluddin berkata, bangunan-bangunan usang itu tidak sepatutnya terus menjadi penyebab ‘sakit mata’.
Katanya, bangunan usang sentiasa ‘popular’ bagi individu tidak bertanggungjawab dengan menjadikannya sebagai lokasi melakukan aktiviti tidak bermoral seperti menghisap dadah, yang jika dibiar menyumbang kepada peningkatan kes jenayah.
“Walaupun bangunan-bangunan terbiar itu mungkin milik swasta tetapi beri impak juga dan kerajaan menerima tempias daripada imej tidak baik itu sebab ini mengenai pengurusan.
“Kerajaan boleh lakukan penilaian terlebih dahulu untuk melihat sama ada ia sesuai digunakan semula atau perlu diroboh dan bangunkan bangunan baharu, jika boleh terus digunakan kerajaan akan jimat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, taman tema pertama Malaysia, Mimaland yang ditinggalkan hampir 30 tahun selepas ditutup pada 1994 wajar diberi nafas baharu agar pembangunan semula di kawasan itu mampu memberi pelbagai kemudahan kepada masyarakat.
Malah, melalui laporan lain penduduk turut menggesa Plaza Rakyat dibangunkan semula kerana seolah-olah sudah ikon kepada Kuala kerana menjadi bangunan usang di tengah kota raya pesat dengan pembangunan dan pencakar langit.
Penduduk sekitar Taman Hillview, Hulu Kelang turut menuntut bangunan ‘berhantu’ yang popular di Malaysia iaitu kondominium Highland Towers dirobohkan kerana bimbang terus dibiar akan membawa kemudaratan.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Geomatika Malaysia yang juga pakar dalam bidang hartanah, Prof. Dr. Ismail Omar berkata, kerajaan boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 terhadap bangunan-bangunan terbiar.
“Kerajaan sudah diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil alih mana-mana tanah atau bangunan yang tidak digunakan seoptimum mungkin. Namun, semua perkara ini perlukan kajian sedikit kerana tidak boleh merampas begitu sahaja.
“Kerajaan juga boleh arahkan agensi-agensi untuk membeli, namun ini perlukan kajian pasaran atau kedayahidupan untuk memastikan bangunan tersebut akan digunakan sehabis baik.
“Selain itu, memajak atau menyewa. Membawa makna, melalui perjanjian dan terma-terma tertentu dia akan gunakan bangunan itu selepas proses ubah suai menggunakan konsep-konsep pembiayaan yang pelbagai,” jelasnya.
Tambahnya, jika perkara ini boleh dilakukan oleh kerajaan ia akan selari dengan objektif untuk membantu golongan-golongan B40.
“Apa salahnya jika ada bangunan-bangunan yang terbiar itu kita majukan dan jadikan tempat persidangan atau kemudahan. Perkara ini banyak dilakukan di luar negara,” jelasnya.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Utusan (utusan.com.my), 19 Januari 2023 : https://www.utusan.com.my/nasional/2023/01/bangunan-terbiar-cerminan-negatif-penyebab-sakit-mata/