Utusan Malaysia, 19 Januari 2023:
Oleh INTAN SUHANA CHE OMAR intan.suhana@mediamulia.com.my
KEJADIAN tanah runtuh semakin kerap dilaporkan di dada akhbar. Lebih menyedihkan, kejadian tanah runtuh yang berlaku di utara Selangor, hujung tahun lalu dikatakan yang kedua terbesar selepas kejadian Highland Tower, 31 tahun lalu.
Bukan ingin menuding jari kepada sesiapa, namun tragedi demi tragedi yang berlaku sudah tentu sedikit sebanyak berpunca daripada tangan manusia sendiri yang tidak bertanggungjawab.
Malah, Pensyarah Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Pembinaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Haryati Shafii turut tidak menolak kemungkinan, gangguan demi gangguan terhadap bentuk muka bumi mendorong berlakunya bencana alam.
Katanya, gangguan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) seperti cerun bagi tujuan pembangunan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan di kawasan tersebut.
Ia diburukkan lagi apabila negara ini menerima ttaburan hujan yang paling tinggi menyumbang kepada berlakunya tanah runtuh.
“Kalau kita lihat kejadian tanah runtuh semakin kerap berlaku, bezanya sama ada berskala kecil atau besar.
“KSAS seperti kawasan cerun, berbukit dan tebing sungai adalah lokasi tidak boleh diganggu dan dijalankan sebarang aktiviti pembangunan.
“Ia sepatutnya diwartakan bagi mengelak sebarang kacau ganggu dan pembangunan yang boleh mengundang berlakunya bencana alam.
“Hal ini kerana bencana alam bukan sahaja menyumbang kepada kehilangan harta benda, memusnahkan alam sekitar, bahkan merisikokan nyawa manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya lagi, alam sekitar secara semula jadi mampu menyerap pencemaran jika ia berlaku pada tahap minimun.
Namun, sekiranya kacau ganggu atau pencemaran berlaku dalam keadaan yang melampaui batas, alam sekitar akan memulangkan balik dalam bentuk bencana kepada manusia dan persekitaran.
Disebabkan itu katanya, antara pendekatan yang boleh dilaksanakan adalah dengan memperluas dan memperketatkan penguatkuasaan iaitu melalui pewartaan KSAS yang berisiko supaya tiada sebarang pembangunan dijalankan di kawasan berkenaan.
“KSAS ini memang tidak boleh diganggu. Jika kita membangunkan atau menukarkan kawasan tersebut kepada aktiviti pertanian sekalipun, ekologi kawasan tersebut sudah tidak sama.
“Ini disebabkan ekologi hutan sebenar dengan hutan pertanian adalah berbeza,” katanya lagi.
TIDAK TOLAK PEMBANGUNAN
Pembangunan sememangnya tidak dapat ditolak kerana ia sangat penting untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Namun, menurut Haryati yang juga Penyelidik Utama Pusat Pengurusan Kelestarian, Infrastruktur dan Persekitaran UTHM, pembangunan di kawasan berbukit, bercerun dan berhampiran dengan badan air atau sungai misalnya, akan meningkatkan risiko berlaku tanah runtuh dan banjir.
“Apabila hujan lebat berlaku, air hujan akan menghakis tanah yang terdedah secara larigsung kepada hujan. Tanah yang dihakis akan dibawa arus sungai dan dimendakkan di dasar yang boleh menyebabkan sungai semakin lama menjadi semakin cetek.
“Apabila sungai menjadi cetek dan seterusnya hujan lebat berlaku, sungai tidak lagi berupaya menampung kapasiti air yang ada.
“Ia seterusnya akan mengalir ke kawasan tanah rendah dan lembah serta boleh mengakibatkan banjir,” jelasnya.
PERANAN KERAJAAN NEGERI
Tegasnya, kerajaan negeri perlu memainkan peranan agresif untuk memantau sebarang pembangunan di kawasan mereka.
Hal ini kerana katanya, ada sesetengah pemaju yang kurang peka dan kurang pengetahuan terhadap kesan pembangunan di KSAS.
Sebagai contoh katanya, ada pemaju yang menjalankan projek di KSAS tanpa pengetahuan dan kebenaran pihak berkuasa.
Sedangkan kebenaran untuk menjalankan projek adalah sangat penting iaitu mendapat kelulusan EIA daripada pihak berkuasa.
“Bagi mereka, cukup dengan sekadar menghantar permohonan EIA dan pembangunan boleh terus dijalankan. Hakikatnya, mereka sepatutnya mendapatkan kelulusan EIA terlebih dahulu, barulah kerja-kerja pembangunan boleh dijalankan.
“Sekiranya telah lulus, pemantauan hendaklah berjalan hingga projek selesai,” ulasnya.