BATU PAHAT – Bertemakan ‘Penggunaan Sisa Pertanian ke arah Pembangunan Lestari di negara-negara ASEAN dan Jepun’, simposium antarabangsa anjuran geran antarabangsa dari Japan- ASEAN Science, Technology and Innovation Platform (JASTIP) telah diadakan pada 29 November sehingga 1 Disember 2022 lalu dengan penglibatan tujuh negara ASEAN.

Simposium yang telah disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim itu dianjurkan bertujuan menyediakan platform perbincangan secara maya di antara penyelidik tempatan dan antarabangsa serta wakil-wakil negara ASEAN dan Jepun.

Simposium yang melibatkan penyertaan peserta dari negara Malaysia, Vietnam, Thailand, Filipina, Myanmar, Indonesia dan Jepun itu telah digerakkan oleh Institut Kejuruteraan Integrasi, UTHM iaitu Micropollutant Research Centre (MPRC).

Menurut ketua penyelaras merangkap pengarah program, Profesor Madya Ts. Chm. Dr. Radin Maya Saphira Radin Mohamed simposium tersebut berjaya menarik 359 peserta terdiri daripada ahli-ahli akademik tempatan dan luar negara, pelajar serta pihak berkepentingan kerajaan dan swasta dari negara yang berbeza.

Tambah Dr. Radin Maya, tajuk perbincangan lebih tertumpu kepada pengeluaran dan pengurusan sisa pertanian dalam negara, pemulihan sumber daripada sisa pertanian secara inovatif, pengalaman mengenai teknologi semasa serta inisiatif berkaitan pembangunan ekonomi daripada pemulihan sumber sisa pertanian.

Para peserta didedahkan dengan statistik terkini pengeluaran sisa pertanian setiap negara yang terlibat.

Selain itu mereka juga didedahkan dengan strategi inovatif berkaitan penghasilan semula sumber daripada sisa pertanian bagi tujuan teknologi rawatan air subkritikal, pengunaan sisa-sisa pertanian untuk penghasilan tenaga, penggunaan sisa pertanian untuk penghasilan baja kompos organik dan penggunaan sisa lembu serta ternakan untuk penghasilan biogas.

“Perkongsian ini diharap dapat membuka peluang kepada usaha, idea dan penyelesaian yang lebih inovatif bagi menguruskan sisa pertanian secara lestari bagi menyumbang ke arah pembangunan lestari global,” katanya.