Ketahanan diri pasca Covid-19 dibahas dalam Persidangan INSAN-7

Dekan dan Staf PPUK yang menjayakan penganjuran Persidangan INSAN-7 yang diadakan secara dalam talian.

Oleh Dr. Zahrul Akmal Damin

BATU PAHAT – Ketahanan diri dalam menghadapi pasca Covid-19 dengan norma baharu telah dibahas dalam Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan Kali Ke-7 (INSAN-7) anjuran bersama Pusat Pengajian Umum dan Ko-Kurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Institut Sosial Malaysia (ISM).

Persidangan yang dilaksanakan secara dalam talian pada 21 dan 22 September 2022 berpangkalan di Pusat Pembelajaran Maya, UTHM telah menghimpunkan 100 orang pembentang dan peserta dari dalam dan luar Malaysia.

Menurut pengerusi INSAN-7, Dr. Zahrul Akmal Damin persidangan bertemakan “Human Resilience: Facing The Pandemic With New Norms” diperkenalkan untuk saling bertukar fikiran dalam kalangan pembentang dan peserta bagi membincangkan isu, cabaran serta masa hadapan berkaitan ketahanan insan pasca Covid-19 dalam pelbagai disiplin sains sosial dan kemanusiaan.

Tambah beliau lagi ketahanan insan ini perlu disoroti kerana ia merupakan fokus nasional bagi mewujudkan pelan pemulihan pasca Covid-19 untuk meningkatkan daya saing negara.

Persidangan yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff itu turut dijayakan dengan kerjasama tujuh rakan strategik dari Malaysia serta Indonesia iaitu Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia,  Universitas Gadjah Mada, Institut Agama Islam Riyadlotul Mujahidin, Institut Agama Islam Negeri Kudus dan Sekolah Tinggi Agama Islam Muttaqien.

Selain itu, INSAN-7 turut dimeriahkan dengan penampilan lima orang pengucaptama daripada pelbagai institusi yang bekerjasama bagi membahaskan isu kepimpinan, kehakiman, kerja sosial, pemfatwaan dan pendidikan dalam mengharungi norma baharu selepas pasca Covid-19.

 

Categories
Persidangan
Subscribe