BATU PAHAT – Festival Konvokesyen 2022 (FESTKON’22), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang bermula pada 2 hingga 8 Disember 2022 meriah diserbu ribuan pengunjung yang terdiri daripada warga kampus dan masyarakat setempat.

Festival yang diadakan bertempat di Padang Kawad Kampus induk UTHM itu dianjurkan saban tahun sebagai pelengkap kepada penganjuran Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Pengerusi Jawatankuasa FESTKON’22, Haszrinaz Husain@Hashim yang juga Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar, UTHM berkata penganjuran festival yang bertemakan ‘Universiti Pemangkin Komuniti Berilmu’ kali ini dimeriahkan dengan gerai jualan, festival makanan, forum perdana, pameran dan program-program anjuran pelajar.

“Penganjuran FESTKON’22 yang bertujuan meraikan graduan dan ibu bapa dipenuhi kira-kira 200 gerai jualan yang menjual barang kering dan basah, pameran daripada para pelajar dan agensi luar seperti PEMADAM dan Jabatan Penjara Malaysia.

“Selain itu, terdapat juga Festival Makanan Asli Thailand (Original Food Festival) yang sememangnya dinantikan oleh penggemar makanan dari negara gajah putih, sekali gus menjadi tarikan utama bagi festkon kali ini.

“Festival ini juga diadakan bagi menarik pengunjung setempat berkunjung ke UTHM selain sebagai usaha merapatkan hubungan antara universiti dan komuniti serta endah antara satu sama lain melalui penganjuran aktiviti-aktiviti yang bermanfaat,” katanya.

Tambah Haszrinaz, kesemua acara dan program yang dianjurkan melibatkan beberapa golongan sasaran seperti komuniti tempatan dan antarabangsa, industri, kanak-kanak, pelajar sekolah dan juga universiti.

“UTHM turut memberi peluang kepada pelajar UTHM dan masyarakat setempat untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka dengan pembukaan lot gerai sebagai satu usaha menerapkan budaya keusahawanan,” jelas  Haszrinaz.

Turut memeriahkan festival, persembahan beberapa selebriti tanah air seperti Naim Daniel, Siti Nordiana, Drama Band, Uji Rashid, Hail Amir, Raihan serta artis-artis daripada Universal Music dan Warner Music.

Sementara itu, Majlis perasmian FESTKON’22 pula telah disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pro Canselor UTHM pada 3 Disember bertempat di Pentas Padang Kawad UTHM.

Hadir sama ke majlis tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad; Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dan  Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Haji Nasri Md Ali.

Turut berlangsung, Pelancaran ‘Tabung Palestin – We Care 2022,’ penyerahan Mock Cheque oleh penaja pakej sempena Istiadat Pemasyhuran Canselor, Pro Canselor & Istiadat Konvokesyen kali ke-22 dan penyerahan Mock Cheque bantuan makanan kepada pelajar UTHM berserta sumbangan dua buah mesin dialisis oleh Majlis Islam Johor.

Majlis perasmian Festkon’22 yang disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pro Canselor UTHM (tengah).

*Antara pengisian aktiviti/program sepanjang berlangsungnya FESTKON’22