BATU PAHAT – Berbekalkan pesanan arwah bapa yang terkorban ketika dunia dilanda wabak Covid-19, Mohamad Syamir,31 tidak patah semangat untuk menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Awam bersama adiknya, Nurul Syahirah,26 bagi pengajian Sarjana Pengurusan Pentadbiran Perniagaan.

“Tidak mudah bagi kami untuk mencari semula semangat yang hilang namun pesanan dan hasrat papa yang ingin melihat kami berjaya menjadi pendorong yang kuat kepada kami.

“Kami sekali lagi diuji apabila enam bulan selepas pemergian arwah papa, mama pula pergi menghadap ilahi.

“Arwah mama tidak pernah putus mendoakan kejayaan kami dan acap kali berpuasa  sunat setiap kali anak-anaknya ini akan menghadapi apa-apa peperiksaan,” katanya.

Mohamad Syamir juga pernah dijangkiti penyakit tuberkulosis atau lebih dikenali sebagai TB namun tidak menjadi penghalang untuk dia meneruskan perjuangan dan berjaya mengekalkan markah kemajuan setiap semester yang setara dengan kelas pertama.

Adiknya Nurul Syahirah juga berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana kelas pertama walaupun ibu mereka meninggal dunia ketika dia sedang menghadapi peperiksaan akhir.

Bakal menerima cahaya mata kedua pada pertengahan Disember ini, Mohamad Syamir kini berkhidmat di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) manakala adiknya Nurul Syahirah sedang melanjutkan pelajaran peringkat PhD.

“Selain ahli keluarga, kami besyukur dengan kehadiran seorang abang, Mohamad Syafiq,33 yang penyayang, bertanggungjawab  dan tidak pernah mengabaikan adik-adiknya walaupun sudah berkeluarga.

“Penuntut yang diduga dengan ujian kehidupan dan masalah kesihatan seharusnya menyahut cabaran untuk meneruskan pengajian kerana jika mereka menamatkannya, ia akan menjadi satu kekalahan dalam hidup,”katanya.

Kedua-dua beradik itu tidak menyangka yang mereka akan berkonvokesyen serentak pada sidang pertama, Istiadat Konvokesyen ke-22 UTHM yang disampaikan oleh Canselor UTHM, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Untuk rekod, konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 4484 graduan menerima sijil masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah (128), sarjana (255), sarjana muda (3443) dan diploma (658).

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Kosmo, 6 Disember 2022: