BATU PAHAT- “Takdir Allah itu sangat cantik kerana kami tidak menyangka akan meraikan kejayaan berkonvo bersama bakal cahaya mata kami.

“Saya dan isteri juga tidak percaya bahawa kami akan berkahwin semasa dalam pengajian, sesungguhnya semua perkara itu merupakan perancangan Allah yang tidak kita ketahui,” kata Mohammad Syakir Mohd Noor Sham.

Syakir merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional Elektrik dan Elektronik dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) manakala isterinya, Nur Aini Nasihah Misnan pula merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Reka Bentuk dan Pembuatan Perabot) dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).

Detik perkenalan pasangan ini bermula apabila mereka menyertai persatuan Sukarelawan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (SYKTLJ) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada tahun pertama pengajian dan akhirnya membuat keputusan untuk melangkah ke alam perkahwinan pada tahun 2020 iatu tahun ketiga pengajian mereka.

“Sudah tentu ada sahaja rintangan yang kami lalui sewaktu dalam pengajian seperti perlu membahagikan masa antara tugas sebagai mahasiswa dan tanggungjawab kepada keluarga, selain keadaan kewangan yang kurang stabil semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Walaupun Syakir sibuk dengan urusan pembelajaran terutama apabila menyandang jawatan sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM bagi sesi 2020/2021 tetapi dia masih sempat membahagikan masa untuk melakukan kerja sampingan sebagai pemandu e-hailing.

“Saya tidak mahu mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami walaupun pada ketika itu saya mulai aktif sebagai seorang perwakilan pelajar,” katanya.

Kini Mohammad Syakir sedang bekerja sebagai pembantu teknikal di sebuah syarikat swasta sementara menunggu panggilan temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk berkhidmat sebagai seorang pendidik.

Isterinya pula bekerja secara sambilan di rumah sebelum mendapat tempat di mana-mana sektor kerajaan atau swasta.

Syakir turut melahirkan rasa syukur kerana berjaya meraih Anugerah Naib Canselor berkat usaha yang berterusan walaupun berasal daripada keluarga B40.

“Konvokesyen kali ini amat bermakna bagi kami kerana berpeluang menghadiri majlis tersebut pada hari, waktu dan sidang yang sama bersama bakal cahaya mata kami,” tambahnya.

 

 

 

 

 

 

.