BATU PAHAT – Seramai 35 graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel menjadi kumpulan pertama yang bergraduan dalam jurusan rel berikutan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merupakan universiti awam pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian itu.

Program di bawah Jabatan Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan (JTKP), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) bertujuan melahirkan pakar bagi menyokong keperluan industri pengangkutan di Malaysia.

Menurut Dekan FTK, Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor, program tersebut memenuhi keperluan industri rel yang holistik merangkumi teknologi rolling stock, trackwork, electrification, signalling and communication, infrastructure serta ditambah dengan elemen pengurusan, operasi, keselamatan dan penyelenggaraan.

“Program ini juga mengadaptasi konsep 2u2i dan Work-based Learning (WBL) yang berteraskan industri dan memberi peluang kepada pelajar untuk merasai lebih pengalaman di industri berbanding program akademik konvensional,” katanya.

Tambah beliau, kandungan program itu turut dipastikan selari dengan kehendak dan perjalanan industri dari semasa ke semasa.

Input dan nasihat daripada pemegang taruh terutamanya pemain industri rel, agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan, pemberi biaya, universiti serta semua pihak yang terlibat diguna pakai bagi memastikan kandungan program sentiasa relevan.

UTHM berusaha memastikan para graduan yang lahir daripada program tersebut bersifat tersedia untuk industri apabila mereka menamatkan pelajaran dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Pihak universiti merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada para graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel dengan Kepujian (BNT) yang berjaya naik ke pentas ketika berlangsungnya Istiadat Konvokesyen ke-22 UTHM pada 7 Disember 2022.