BATU PAHAT, 4 Dis 2022 – Ibu kepada arwah Syazwani Mohd Ngadiran Raja,23 graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) reda tidak berpeluang melihat arwah anaknya naik ke pentas hari ini untuk menerima skrol graduan dan Anugerah Naib Canselor.

Menurut Fatimah Paiman,49 walaupun sebak dengan kehilangan tersebut namun beliau tetap berbangga arwah anaknya dapat menghabiskan pengajian dengan ijazah kelas pertama.

Penyampaian ijazah sarjana telah disampaikan oleh Pro Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani yang juga Setiausaha Kerajaan Johor dalam satu sesi ringkas yang diadakan sejurus selesai sidang kedua istiadat konvokesyen.

Turut hadir ke sesi tersebut, Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pegawai-pegawai Kanan Universiti.

Arwah Syazwani meninggal dunia pada Julai 2022 lalu disebabkan serangan jantung ketika sedang menjalani latihan industri di sebuah syarikat.

“Saya mendapat sedikit kekuatan apabila melihat skrol graduan ini dan nekad untuk meneruskan kehidupan seperti biasa demi adik dan abang arwah yang merupakan seorang orang kelainan upaya,” katanya.