Galas tiga tugas, Rosdi mahu ubah nasib keluarga

BATU PAHAT – Rosdi Abdullah, graduan Sarjana Pendidikan Teknikal dan Vokasional akhirnya menarik nafas lega kerana berjaya menghabiskan pengajian peringkat sarjana walaupun perlu bergelut dengan tugas sebagai staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), suami dan bapa kepada tiga anak dan usahawan online.

Pernah melalui detik sukar dalam kehidupan apabila tidak mampu memberi kecukupan kepada isteri dan anak-anak, Rosdi akhirnya nekad melakukan lebih dari satu kerja dan pada masa yang sama menyambung pengajian peringkat sarjana.

Mengimbau kembali perjalanan hidupnya sebelum ini, Rosdi pernah gagal menempatkan diri di mana-mana institut pengajian tinggi awam sejurus mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Rosdi mengambil keputusan untuk bekerja sambilan sehinggalah satu masa dia menyedari betapa pentingnya mempunyai kelulusan yang baik dalam dunia pekerjaan.

“Saya pernah bekerja kilang yang sangat kotor, habuk dan berasap hitam yang membuatkan saya kerap jatuh sakit.

“Ketika itulah saya tersedar hanya ilmu sahaja yang mampu mengubah hidup saya,” cerita Rosdi.

Dia nekad meneruskan pengajian peringkat diploma di Akademi Seni Kebangsaan yang kini dikenali sebagai ASWARA sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan di Universiti Malaya.

Selepas tamat belajar, dia mula bekerja di bidang penyiaran termasuklah pernah menjadi jurulatih program realiti TV, pelakon drama dan teater di Kuala Lumpur.

Setelah berkahwin, Rosdi berpindah ke Batu Pahat dan bekerja di UTHM namun perjalanan awal kehidupan berumahtangga mengajar dia untuk berusaha mencari ilmu dan peluang rezeki tambahan.

Kesungguhan dan minatnya dalam menuntut ilmu menjadi pendorong kepada Rosdi untuk meneruskan pengajian peringkat sarjana pula secara separuh masa di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, UTHM pada tahun 2015.

“Bermulalah cabaran saya apabila perlu membahagikan masa secukupnya kerana selain menggalas tugas sebagai pelajar dan Ketua Jabatan Teater dan Tari di Pusat Kebudayaan Universiti, saya juga mula bergiat aktif sebagai usahawan marketing online, YouTuber serta content creator di page facebook Viral Oh Viral Channel yang kini telah mencecah 1.5 juta followers,” katanya.

Sebagai ketua keluarga, Rosdi tahu dia perlu bekerja keras untuk memastikan ekonomi keluarganya stabil.

Pelbagai usaha dilakukan bagi mencari rezeki dan dia mengadaptasi segala perkembangan teknologi bagi meningkatkan kecekapan bisnesnya melalui media sosial.

Hasilnya, beliau berjaya memiliki ‘Silver Button’ di saluran YouTube pada awal tahun lalu sekali gus menaikkan lagi semangatnya untuk lebih produktif menjana pendapatan di media sosial.

Tambah Rosdi, kerja sampingan itu memerlukan idea yang bernas dan kreatif agar dapat menarik perhatian penonton, tambahan pula pelanggan sentiasa menghubungi dia tanpa mengira waktu bagi mempromosikan produk mereka.

 “Kesibukan saya dengan pelbagai kerja dan kerjaya menjadikan saya tidak boleh fokus menulis tesis dan hampir-hampir berputus asa dengan pengajian saya.

“Namun dengan sokongan tanpa henti daripada orang sekeliling, saya akhirnya bangkit sekali lagi setelah sedar bahawa pendidikan merupakan kekuatan dan tulang belakang untuk saya terus maju,” katanya.

Rosdi mengatur semula jadual kerja dan menulis tesis dengan dibantu oleh isteri dan panel viva walaupun terpaksa mengorbankan banyak perkara untuk terus fokus.

Namun semangatnya sekali lagi bagai direntap apabila dikejutkan dengan kehilangan ibu tercinta.

Hasrat Rosdi tidak kesampaian untuk melihat ibunya berada di majlis konvokesyen bagi meraikan kejayaannya menggenggam segulung ijazah sarjana.

“Pastinya saya amat terkesan dengan kehilangan itu kerana konvokesyen sebelum inipun ibu saya Sara Abdul Rahman tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan, namun saya tetap pasrah dengan membawa semangat ibu bersama,” katanya.

Tambah Rosdi, tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) selama dua tahun telah memberinya peluang dan ruang untuk menyiapkan penulisan tesis kerana pada ketika itu tiada aktiviti mahupun program yang dilakukan secara fizikal pada waktu malam dan hujung minggu. 

“Bukan mudah untuk orang seni seperti saya mahu lompat ke bidang pendidikan teknikal dan vokasional.

“Saya perlu lebih gigih untuk belajar perkara baharu dan pastinya saya perlu buang ego serta sentiasa mendapatkan nasihat dan pandangan daripada orang lain kerana mereka merupakan pakar dalam bidang mereka,” katanya.

Rosdi turut memasang impian untuk menyambung pengajian peringkat doktor falsafah pada masa akan datang kerana baginya usaha dalam menuntut ilmu itu tidak pernah mengecewakan dan sentiasa membuahkan hasil.

 

 

 

 

 

Categories
ALUMNIBerita Umum