BATU PAHAT –  Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih gelaran ‘Juara Keseluruhan’ Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SAF) 2022 dengan pungutan pingat sebanyak 13 emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Manakala Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) pula meraih tempat kedua dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) di tempat ketiga.

Kejohanan SAF anjuran Pusat Sukan Universiti (PSU) bersama Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) selaku tuan rumah itu diadakan pada 24 November hingga 3 Disember lalu bertempat di sekitar kampus UTHM.

SAF mempertandingkan beberapa sukan iaitu bola sepak 9 sebelah, bola keranjang 3×3, silat, taekwondo, hoki sembilan sebelah, bola tampar, ragbi tujuh sebelah, bola jaring, renang, indoor rowing dan juga e-sport mobile legend.

Penganjuran kejohanan saban tahun itu bertujuan untuk melahirkan atlet pelajar untuk persiapan ke Kejohanan Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Selain itu, SAF juga dijadikan platform untuk membudayakan sukan pelajar dan merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga kampus.

Setelah melalui fasa pandemik, penganjuran SAF pada tahun ini membuka peluang kepada semua pelajar untuk terlibat secara aktif dalam permainan yang dianjurkan selain memberi peluang kepada mereka untuk terlibat dalam pengurusan acara sukan serta kepengadilan.

SAF disertai oleh sembilan  fakulti dengan penyertaan kira-kira 1500 peserta termasuk pengurus pasukan dan juga penaung pasukan yang diterajui oleh staf fakulti.

Kejohanan SAF UTHM 2022 turut dimeriahkan dengan kehadiran penyokong daripada setiap fakulti dengan teriakan ultras yang tidak berhenti dan paluan gendang bagi memberi semangat kepada atlet fakulti masing-masing.

UTHM berharap penganjuran kejohanan seumpama ini dapat memupuk budaya sihat dan cergas dalam kalangan warga kampus sekali gus dapat melahirkan atlet universiti yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Sr Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim Ismail hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Perasmian Penutup Kejohanana SAF.
Simbolik ’obor petir’ menjadi lambang rasmi Kejohanan SAF UTHM 2022.