BAGAN LALANG – Empat pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memperoleh geran seed funding “Volunteer Leadership Development Programme” (VLDP) daripada Yayasan Sukarelawan Siswa 2022 (YSS) pada 4 Disember 2022 lalu.

Empat pelajar terbabit iaitu Syafawati Samion adri Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Syed Muhammad Danial Syed Zaheruddin dan Mohamad Shafiq Emay Shah dari Pusat Pengajian Diploma serta Fadhlina Aziz dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi mendapat pembiayaan sebanyak RM2500 bagi melaksanakan projek cadangan mereka G4U ‘Gazebo 4 All.’

Sebanyak 23 kumpulan daripada universiti seluruh Malaysia telah menyertai program tersebut yang berlangsung selama empat hari bermula pada 1 hingga 4 Disember 2022 lalu bertempat di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang.

Bertemakan “Creating a World of Changemakers,” YSS ditubuhkan bertujuan menggalakkan pelajar meneroka bakat dan kepakaran masing-masing dengan menggunakan sumber sedia ada di sekeliling mereka untuk berbakti kepada komuniti.

Sepanjang empat hari program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai ilmu daripada penceramah yang hebat dari dalam dan luar negara.

Perkongsian tersebut bertujuan memberi pendedahan dalam melatih kemahiran sukarelawan, bermula dengan berkongsi idea projek sehinggalah berjaya melaksanakan projek tersebut dengan impak yang berterusan.

 

Empat pelajar UTHM bersama Prof. Emerita Tan Sri Dr. Mazlan Othman, Pengerusi YSS.