PAGOH – Hampir 3000 pelajar baharu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari lapan fakulti dan Pusat Pengajian Diploma telah mengikuti modul jati diri GRITT pada 28 dan 29 Oktober 2022 lalu.

Modul GRITT yang merupakan inisiatif Pusat Perumahan Pelajar (PRP) itu dilaksanakan dengan kerjasama Penasihat Akademik dan Kerjaya (PAK) yang terdiri daripada staf akademik setiap fakulti.

GRITT secara asasnya mewakili lima nilai yang diterapkan dalam pembentukan DNA Kecemerlangan Mahasiswa yang mana ia merangkumi elemen Global, Resilience, Innovative, Trustworthy dan Talent.

Modul tersebut dibangunkan bagi membentuk mahasiswa yang berciri holistik dan global seiring dengan hala tuju UTHM ke arah Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030).

Elemen-elemen yang ada dalam modul GRITT ini bertujuan untuk mendidik dan melatih mahasiswa berfikir dan bertindak secara global, mempunyai ketahanan mental dan emosi yang tinggi dalam mendepani pelbagai cabaran dan rintangan, berinovasi dan kreatif dalam merangka perancangan dan menyelesaikan permasalahan, mempunyai sikap amanah dan integriti dalam kehidupan seharian, dan juga mengenal serta mengasah kebolehan semula jadi agar boleh digunakan untuk kebaikan.

Pelaksanaan modul itu melibatkan ketiga-tiga kluster kolej kediaman UTHM iaitu Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK) dan Kolej Kediaman Luar Kampus (KKLK) yang mana setiap kluster diketuai oleh Timbalan Pengetua 1 Kolej Kediaman.  

Modul GRITT dirangka khusus untuk pelajar baharu UTHM  dengan menggunakan prinsip acuan Rukun Negara.

Prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara merupakan kunci kepada  perpaduan, keharmonian  serta asas jati diri yang kukuh dengan mengaplikasikan sains dan teknologi moden di dalam kehidupan seharian.

 

*Sebahagian pelajar baharu yang mengikuti modul jati diri GRITT pada 28 dan 29 Oktober 2022.

 

*Disediakan Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, P.M. Ts. Dr. Mohd Halim Irwan Ibrahim, Dr. Nur Ilyani Ramli, Noreina Kepal @ Nasir dan Mohd Nazrin Musling