Bengkel ‘DJ in the Making’ cungkil bakat terpendam pelajar UTHM  

Oleh Hazila Kadir @ Shahar

Setelah negara menghampiri fasa endemik, Pusat Pengajian Bahasa (PPB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan tradisi penganjuran program luar kelas akademik iaitu Funnival 2.0 dengan mengadakan Bengkel “DJ in the Making” pada 4 November 2022 lalu.

Bengkel dengan kerjasama Biro Akademik dan Kebolehpasaran Graduan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) itu diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat terpendam pelajar UTHM.

Bengkel “DJ in the Making” hasil cetusan idea Dekan PPB, Dr. Hj Azmi Abdul Latif itu berjaya menarik penyertaan 26 pelajar dari pelbagai fakulti.

Dr. Azmi berkata beliau sangat mengharapkan ada bakat baharu yang dapat digilap dalam kalangan pelajar terutamanya bagi mengendalikan program-program yang bakal dianjurkan oleh PPB pada masa akan datang.

“Penganjuran bengkel seumpama ini menjadi titik tolak bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Penceramah, Rosdi Abdullah dari Pusat Kebudayaan Universiti, UTHM telah dijemput untuk berkongsi pengalaman sebenar dan teknik yang terkini dalam penyampaian sebagai Deejay.

Beliau merupakan seorang pencipta kandungan (content creator) yang makin dikenali ramai dan juga bekas Deejay untuk pelbagai program di luar dan dalam universiti.

Perkongsian beliau telah menyuntik semangat para peserta untuk tampil mencuba walaupun pada awalnya mereka agak bimbang kerana merasakan tidak ada bakat dalam pengucapan awam khususnya sebagai Deejay

Perkongsian beberapa jam itu menampakkan hasil apabila para peserta berjaya melaksanakan aktiviti dengan cemerlang walaupun tempoh masanya agak singkat.

Mereka turut kelihatan teruja apabila menerima pujian dan komen membina dari penceramah jemputan.

Program yang turut disiarkan secara langsung melalui platform YouTube itu juga berjaya meraih jumlah tontonan yang ramai.

“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi bagi menyuntik semangat para peserta mengembangkan bakat terpendam mereka dalam program Funnival lain iaitu ‘Culture in Action’ yang dijadual diadakan pada Disember 2022 akan datang,” kata Dr. Azmi.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

Bengkel DJ in the making gilap bakat pelajar

1. sinarbestari.sinarharian.com, 15 November 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/bengkel-dj-in-the-making-gilap-bakat-pelajar/

Categories
Hal Ehwal PelajarKeratan Akhbar 2022
Subscribe