Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun. Daripada status sebuah negara yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kini Malaysia sedang mengorak langkah ke hadapan untuk menjadi sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi.

Dalam usaha untuk mencapai objektif tersebut, ia telah terbukti dengan pembinaan pelbagai projek mega yang kian rancak seperti Lebuhraya PLUS, Lapangan Terbang KLIA, Jambatan Pulau Pinang, Kompleks Pentadbiran Putrajaya dan Litar Lumba Sepang.

Dalam membincangkan pelaksanaan projek mega, komposisi pelaksanaan projek ini terdiri daripada beberapa komponen yang boleh dikenal sebagai 3M. Tiga elemen utama terdiri daripada Man Power atau buruh binaan, Material (bahan binaan) dan Machine (jentera binaan). Ketiga-tiga M ini memainkan peranan yang amat penting dan boleh dianggap sebagai kunci kepada kejayaan sesuatu projek pembinaan.

Isu bahan binaan yang berlaku kini sangat berkait rapat dengan masalah penyiapan kerja di tapak binaan. Antara bahan binaan yang kerap digunakan di tapak binaan adalah seperti besi tetulang, simen, pasir, batu bata, jubin lantai dan cat. Melalui pemerhatian, kadar harga bahan binaan ketika ini dalam pasaran didapati telah berlaku kenaikan yang drastik dan juga dianggap tidak masuk akal. Berdasarkan isu semasa, terdapat kenaikan harga binaan logam yang menyebabkan kos pembinaan projek telah meningkat begitu ketara sekali.

Selain daripada itu, hasil semakan harga binaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik menerusi Siaran Khas untuk Kerja-Kerja Kejuruteraan Awam pada bulan Mei 2022 menunjukkan telah berlaku kenaikan harga yang sangat tinggi. Sebagai contoh, bahan binaan bagi besi tetulang (mild steel) yang bersaiz 10mm diameter di kawasan tengah yang meliputi area Lembah Kelang pada bulan April 2021 ialah RM2,463.45 per ton. Manakala harga terkini pada April 2022 ialah RM4,078.74 per ton. Kenaikan harga bahan mentah sebanyak RM1,615.29 per ton ini dilihat amat memeritkan baik kepada pihak kontraktor, klien mahupun pembeli rumah. Pihak kontraktor yang biasa meletakkan nilai harga sesuatu kerja untuk item tetulang sekitar RM4,500 per ton akan berhadapan situasi dilema yang mana berkemungkinan mereka tidak memperoleh keuntungan dan mungkin akan menanggung kerugian atas kerja yang dijalankan.

Tambahan itu, terdapat harga bahan binaan lain yang dilihat kenaikannya berlaku mendadak seperti bahan simen di kawasan-kawasan pantai timur. Pada bulan April 2021 menunjukkan harga simen RM17.01 per beg. Namun begitu, pada bulan April 2022 pula telah mencatatkan kenaikan kepada RM 19.28 per beg. Walaupun nilai perbezaan kenaikan harga bagi kedua-dua bulan tersebut hanya sebanyak RM2.27 per beg, tetapi ia memberikan kesan kepada prestasi kerja-kerja kontraktor untuk menyiapkan kerja di tapak binaan.

Kenaikan harga bahan binaan ini sememangnya telah memberikan kesan dalam pelaksanaan projek di tapak binaan seperti proses kemajuan kerja menjadi perlahan. Hal ini dikatakan demikian kerana, pihak kontraktor amat berhati-hati untuk membeli bahan binaan utama bagi mengelakkan kerugian besar berlaku. Selain itu, kontraktor berkemungkinan akan menarik diri daripada meneruskan projek pembinaan kerana jika diteruskan projek pembinaan tersebut, kerugian besar bakal ditanggung oleh pihak kontraktor. Akibatnya, projek pembinaan akan berhadapan dengan risiko seperti projek terbengkalai yang mana kontraktor gagal menyiapkan projek pembinaan lantaran daripada ketidakmampuan untuk mendapatkan bekalan bahan binaan. Bukan itu sahaja, pihak pembeli khasnya seperti para pembeli rumah akan tertunggu-tunggu waktu untuk rumah yang mereka idamkan dapat disiapkan mengikut masa seperti perjanjian yang dimeterai sebelum ini.

Oleh demikian, peranan atau bantuan daripada pihak kerajaan amat diharapkan oleh pemain industri pembinaan seperti kontraktor, subkontraktor dan pembekal dalam mengawal kenaikan harga bahan binaan secara berterusan dan berkesan. Pihak berwajib seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atau melalui Persatuan Kontraktor dilihat perlu bergabung tenaga mencari idea dalam mengatasi masalah yang terus membelenggu demi menjaga reputasi baik industri pembinaan di Malaysia. Walaupun pihak kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah, seperti syarat Variation of Price (VOP) dalam perolehan sebut harga, tender konvensional, dan tender reka dan bina, namun ia hanyalah terhad bagi kontrak yang berlangsung pada tahun 2021. Oleh demikian, nikmat tersebut tidak dapat dirasai oleh semua pihak kontraktor yang boleh dianggap bersifat sementara.

Di sektor lain, misalnya industri ternakan ayam, apabila tiba musim perayaan, pelbagai elemen kawalan diperkenalkan oleh pihak kerajaan terhadap harga ayam seperti menetapkan harga kawalan pada ayam tersebut. Janji dan usaha berterusan kerajaan tersebut dilihat dapat membantu rakyat yang rata-ratanya terdiri daripada kelompok berpendapatan sederhana.

Oleh demikian, usaha yang sama ini juga amat diharapkan oleh kebanyakan kontraktor agar ia dapat tersebar luas dalam industri pembinaan terutamanya dalam usaha membendung kenaikan harga binaan yang melampau. Dengan adanya usaha dan pertolongan daripada kerajaan ini, ia dapat membantu melegakan para kontraktor yang terdiri daripada Gred G1 hinggalah kepada Gred G7 yang sememangnya merupakan tulang belakang bagi kunci pembangunan infrastruktur di Malaysia agar tidak terus dibelenggu dengan masalah kenaikan harga bahan binaan.

 

Artikel ini juga diterbitkan di :

1. Berita Harian (muka surat: 11) , 11 November 2022 :

2. bharian.com, 11 November 2022: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2022/11/1024235/kawalan-harga-bahan-binaan-bantu-kontraktor-bernafas-semula

3. Utusan Malaysia (muka surat: 34), 12 Disember 2022: 

Prof. Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom

Ketua Koordinator Jaringan Global,

Unit Building Infomation Modelling (BIM),

Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM)

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan),

Fakukti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Sr Norazilan Mazahar 

Penolong Juruukur Bahan Kanan, Bahagian Kontrak Dan Ukur Bahan (BKUB),

Jabatan Pengurusan Pembangunan Dan Harta Benda (JPPHB),

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)