Oleh Hazila Kadir @Shahar

BATU PAHAT, 12 Okt 2023 – Bagi meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan keyakinan diri, seramai 44 pelatih tahap junior Kursus Kesukarelawan Polis Siswa Siswi (KOR SUKSIS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengikuti Kursus Pengucapan Awam bagi tahun 2023 bertempat di Pusat Minda Emas (PuMAS) UTHM Johor, Kampus Tanjung Laboh

Menurut penyelaras program, Sarjan Sarudin Sirkam, penganjuran kursus selama empat hari itu adalah bagi memenuhi keperluan silibus yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan (Bahagian Latihan) Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kursus yang diadakan setiap tahun bagi skuad terpilih itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelatih tentang konsep dan kaedah pengucapan awam.

“Inisiatif ini bertujuan untuk melatih pelatih bersikap lebih profesional dan mempunyai kemahiran komunikasi yg tinggi.

“Penganjuran kursus ini diharapkan dapat menerapkan sikap berani, di samping memupuk nilai positif dalam kalangan pelatih terutamanya bagi berdepan dengan cabaran untuk menyampai maklumat kepada orang awam,” katanya.

Pelbagai pengisian ilmu pengucapan awam disampaikan oleh dua penceramah dari Pusat Pengajian Bahasa, UTHM iaitu Dr. Nurizah Md Ngadiran dan Hazila Kadir @Shahar.

Mereka merupakan pengajar bidang bahasa dan juga mantan pengajar kokurikulum bagi Kursus Pengucapan Awam di UTHM.

Antara aktiviti yang dijalankan, pengenalan kepada teori asas pengucapan awam, konsep penyampaian dinamik, tip dan latihan membina keyakinan diri, pembinaan skrip ucapan, analisa audien dan penyediaan video dokumentari .

“Kesemua aktiviti tersebut adalah berbentuk perkongsian maklumat di samping pelaksanaan latihan dalam kumpulan,” tambah Sarjan Sarudin.

Sepanjang kursus, para pelatih diberi lima cabaran untuk diselesaikan dan setiap kumpulan telah memberi komitmen yang terbaik.

Peserta, Mohamad Zakir Zulkarnain telah dinobatkan sebagai pelatih paling berketrampilan di majlis perasmian penutup Kursus Pengucapan Awam, yang disempurnakan oleh Ts. Dr. Mohamad Ali Selimin (ASP/KS) selaku Pegawai Latihan Akademik Kor Suksis UTHM.

“Diharapkan kursus ini menjadi titik tolak bagi para pelatih untuk mengaplikasikan ilmu yang diperolehi pada masa akan datang,” katanya.