Oleh Dr. Nor Hazurina Othman dan Dr. Noorwirdawati Ali

BATU PAHAT – Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat telah berjaya menganjurkan pertandingan Innovation Week (InNow) 2022 secara dalam talian pada 1 dan 2 November 2022 lalu.

Pertandingan yang buat julung-julung kalinya diadakan ini terdiri daripada beberapa acara iaitu Young Inventor Challenge (YIC), Innovation on Green Concrete Competition (InGreen), Sustainable and Environmental Invention and Innovation (SEII), Architectural Design Innovation Challenge (ArDIC) dan Sustainable Innovation (SUSTAIN).

Bertemakan “Think. Sustainable. Innovation,” pertandingan tersebut diadakan bertujuan untuk menggalakkan inovasi yang berfokus kepada kelestarian alam sekitar, selain memberi peluang kepada para peserta mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi mereka.

FKAAB sentiasa menyokong usaha meningkatkan kelestarian alam sekitar yang mana ia merupakan satu bidang yang luas dan merupakan elemen penting dalam kehidupan, pembangunan ekonomi dan kemampanan global.

Pertandingan YIC yang terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah berjaya menarik 66 penyertaan dari sekolah seluruh negara antaranya dari Perak, Kelantan, Labuan, Selangor, Melaka dan Johor.

Manakala bagi InGreen, SEII, ArDIC dan SUSTAIN, penyertaannya terbuka kepada staf dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), ahli akademik, penyelidik dan industri.

Selain UTHM, sebanyak 29 penyertaan dari IPT lain turut diterima antaranya dari Universiti Teknologi MARA, Taylor’s University, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, International Islamic University Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Kolej MARA Kuala Nerang, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Petronas dan University of Nottingham.

Kolej Vokasional Tanjung Piai telah memenangi anugerah Best of The Best bagi pertandingan YIC dengan tajuk projek mereka ‘Auto Booster’ manakala bagi SEII, pelajar daripada FKAAB telah memenangi anugerah Best of The Best dengan tajuk projek ‘The Aqua’.

Bagi SUSTAIN pula, pelajar daripada FTK telah memenangi anugerah Best of The Best dengan tajuk projek mereka iaitu ‘Elevated Park’.

Dekan FKAAB, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Irwan Juki berkata anugerah yang dimenangi itu diharap dapat menaikkan semangat mereka untuk menghasilkan produk atau projek-projek lain yang dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

 

Barisan urus setia yang menjayakan program InNow 2022.