Sebelum kedatangan pihak British ke Tanah Melayu, sistem pendidikan orang Melayu adalah berlandaskan kepada pelajaran agama Islam, iaitu kitab suci al-Quran yang sudah tentu mengandungi ilmu Tauhid, ilmu Fiqah, ilmu Aqli di samping pengamatan terhadap ilmu As-Sunnah. Pelajaran yang diperolehi ketika itu melalui dengan cara menghafal ayat-ayat al-Quran, menghafal doa, dan mempelajari mengenai ajaran Islam dengan merujuk kepada imam dan para guru agama. Pendidikan yang penting pada ketika itu ialah pendidikan Islam dengan mula berkembang dan wujud sekolah-sekolah pondok dan madrasah sebagai tempat mendapat pendidikan Islam.

Rentetan daripada perkembangan yang sangat pesat terhadap sistem pendidikan Islam yang berpandukan kepada al-Quran, As-Sunnah yang merangkumi ilmu Tauhid, ilmu Fiqah dan ilmu Sirah, pengamal-pengamal agama Islam terus melaksanakan ia melalui penubuhan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang  telah lama bertapak di Tanah Melayu. Institusi ini bermula dengan institusi pondok yang diusahakan oleh tuan-tuan guru dengan bantuan masyarakat tempatan. Sehingga ke hari ini, sekolah-sekolah ini terus berkembang mengikut arus perdana dan diurus oleh komuniti atau jawatankuasa tertentu bagi pihak masyarakat atau diwarisi oleh keturunan pengasasnya. Institusi ini terus berkembang dan permintaan terhadap SAR semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia berdasarkan penambahan jumlah SAR dan jumlah murid di setiap negeri. Permintaan yang meningkat ini adalah kerana kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap institusi ini terutama sumbangannya bukan sahaja dari sudut akademik malah yang utama ialah dari aspek kerohanian dan sahsiah.

 

Impak Ilmu al-Quran dan As-Sunnah terhadap Sistem Pendidikan

Sistem pendidikan, melalui pengajaran dan pembelajaran, merupakan elemen yang penting bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah membangunkan masyarakat dari segi ekonomi, politik, dan sosial. Pelajar merupakan generasi belia remaja, yang bakal mencorakkan masa depan negara sama ada menjadi lebih baik atau sebaliknya. Kenyataan ini tidak dapat disangkal lagi kerana mereka adalah asset kekayaan semula jadi yang bakal memegang peranan  penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan negara. Namun demikian, dalam proses pembentukan peribadi yang mulia, tahap pengetahuan dan penghayatan fardu ain kini amat pudar dalam masyarakat. Tambahan pula pelajar yang masih remaja masih lagi rapuh dan mudah terdedah kepada pengaruh negatif yang akan membawa kepada masalah disiplin, terbabit dengan najis dadah, hilang integriti apabila bekerja, tidak mengamalkan amalan-amalan yang baik dan mulia seperti amanah, jujur, ikhlas dan produktif dan seterusnya akan menjadi ancaman sumber tenaga manusia yang merugikan negara dalam jangka masa panjang.

Oleh itu kesemua masalah disiplin serta salah laku yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan diatasi supaya tidak terus mengancam asset yang tidak ternilai ini melalui pembentukan peribadi yang betul dan mengamalkan al-Quran dan As-Sunnah. Pembentukan peribadi Muslim merupakan pembangunan modal insan yang unggul dan dimiliki oleh manusia menerusi penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran yang tinggi dan menerusi penghiasan diri dengan akhlak yang mulia. Penghayatan ilmu dalam Islam sangat penting dalam usaha mendidik dan membentuk peribadi Muslim.

Melalui konsep pendidikan kerohanian, pembentukan peribadi Muslim merangkumi kesedaran dan renungan terhadap pengalaman seseorang; menyoal dan meneroka makna pengalaman; memahami dan menilai kemungkinan tindak balas dan tafsiran; mengembangkan pandangan dan pandangan peribadi; dan menerapkan pandangan ini untuk kehidupan seseorang. Perkembangan moral, seperti pengembangan rohani, adalah pelbagai aspek konsep dan merangkumi aspek-aspek seperti pengetahuan, dan kesediaan untuk hidup oleh, kod dan konvensyen tingkah laku yang digambarkan oleh tuhan, serta peraturan yang dipersetujui oleh masyarakat (tidak berkanun dan yang ditetapkan oleh undang-undang); dan keupayaan untuk membuat penilaian mengenai masalah moral berdasarkan kriteria dan pertimbangan yang bertanggungjawab. Peribadi moral adalah gabungan kepercayaan dan nilai individu, dari sosial tertentu, kumpulan budaya dan agama yang menjadi milik mereka dan undang-undang dan adat istiadat  masyarakat yang lebih luas.

 

Hubungan sistem pendidikan dengan sains dan teknologi

Abad ke-10 hingga ke-16 memperlihatkan umat Islam menghasilkan inovasi dan reka cipta bertunjangkan ilmu sains dan teknologi. Menariknya, pembabitan ilmuwan Muslim dalam bidang ilmu sains dan teknologi semata-mata mahu menjadikan produk serta ilmu itu sebagai amal jariah untuk kesejahteraan ummah. Al-Jazari misalnya, ketika era keemasan pemerintahan Islam di Andalusia, beliau berjaya menghasilkan karya kejuruteraan mekanikal seperti kincir air. Natijahnya, karya sains dan teknologi beliau banyak membantu masyarakat dalam sektor pertanian dan ia terus ditambah baik sehingga kini. Itulah yang membuktikan produk umat Islam lebih terarah kepada kesejahteraan hidup manusia sejagat.

Walau bagaimanapun, apabila sains dan teknologi ‘diceduk’ oleh Barat, keluhuran dan kemurnian beralih arah kepada penghasilan produk yang menjurus kepada kemusnahan. Sebagai contoh, pengeboman tentera Amerika Syarikat ke atas Bandar Hiroshima pada 6 Ogos 1945 disusuli tiga hari kemudian, 9 Ogos 1945 meranapkan sama sekali kehidupan manusia di dua bandar berkenaan. Bom atom yang buat pertama kali digunakan membuktikan akal minda manusia genius dalam bidang sains dan teknologi sekiranya tidak berpaksikan nilai kemanusiaan akan terhasillah kemusnahan seperti bom atom itu.

Perkembangan ilmu dalam bidang pertahanan juga semakin moden dengan pelbagai rekaan baharu. Perkara ini adalah sangat membimbangkan kerana ia akan membawa kepada kemusnahan harta benda dan nyawa manusia. Sekiranya pengguna sains dan teknologi memiliki jiwa beragama dan iman yang kukuh, mustahil berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaannya. Sebab itulah pada zaman awal keemasan umat Islam terdahulu, tidak timbul kerosakan disebabkan tangan manusia. Saintis mahupun sebagai penggunanya sama-sama menyedari mereka akan dipertanggungjawabkan oleh Allah dalam setiap perbuatan di dunia ini.

Ahli sains komited dan agresif merungkai permasalahan hidup dengan menghasilkan produk sains manakala penggunanya memanfaatkan hasil itu di jalan yang diredai Allah. Kewujudan sikap dan nilai pegangan tauhid yang berpaksikan al-Quran dan As-Sunnah yang teguh membawa kepada kehidupan umat Islam yang bertamadun tinggi pada era berkenaan. Umat Islam terdahulu juga berpegang kepada pengertian tamadun itu dalam konteks penjagaan matlamat maqasid syariah iaitu menjaga agama, akal, harta, nyawa, jiwa, keturunan dan maruah. Jangka hayat sesebuah tamadun amat ditentukan oleh kefahaman serta penghayatan masyarakatnya terhadap ajaran Islam. Itulah agama yang mencetuskan kecemerlangan umat Islam dan ketamadunannya selama ini. Imam Ahmad dan Ibnu Majah ada meriwayatkan satu peringatan Rasulullah SAW yang menyebut: “Jangan lakukan sesuatu yang memudaratkan.” Hadis itu sebenarnya bersifat umum dan tentu sekali turut merangkumi bidang penggunaan sains dan teknologi.

Berpegang kepada pesanan Rasulullah SAW itu pastinya akan membawa suatu era kepada setiap ilmuwan khususnya Muslim akan sentiasa menitikberatkan tujuan sesuatu rekaan dan kajiannya demi kesejahteraan ummah. Secara keseluruhannya, perkembangan manusia dalam penerokaan ilmu pengetahuan dan penemuan dalam bidang sains dan teknologi serta ciptaan baharu sepatutnya akan mempertingkatkan lagi peradaban manusia. Dengan kata lain, semakin tinggi ilmu pengetahuan manusia, semakin tinggilah peradaban manusia. Ini selaras dengan pengertian tamadun iaitu, keadaan masyarakat manusia yang berdasarkan taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik dan lain-lain) yang tinggi peradabannya.

Artikel ini juga telah diterbitkan di:

1. bernama.com, 11 November 2022: https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2135912

 

Anim Zalina Azizan

Pensyarah Kanan / Penyelidik

Kumpulan Fokus Technology & Innovation Management

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)