Berita Harian | 12 Oktober 2022 :

Oleh Dr Munzilah Md Rohani bhrencana@bh.com.my

  • Kebergantungan kepada kenderaan persendirian bukan sahaja dalam kalangan masyarakat dewasa, malah trend ibu bapa masa kini membelikan motosikal kepada anak bagi tujuan pengangkutan ke sekolah
  • Menaik taraf sistem dan rangkaian pengangkutan untuk masyarakat luar bandar bukan lagi berteraskan keuntungan, sebaliknya memenuhi keperluan sosial masyarakat

Pembangunan ekonomi, kesihatan dan kualiti kehidupan masyarakat terutama di luar bandar banyak dibantu pengangkutan dalam mendapatkan akses perkhidmatan asas seperti kesihatan, pengguna, peluang pekerjaan, pendidikan, sosial serta rekreasi.

Di negara ini, sistem pengangkutan direka bentuk kerajaan di luar bandar bertujuan memenuhi keperluan khusus rakyat merangkumi kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas, selain sebagai perkhidmatan sosial kepada masyarakat berpendapatan terhad, termasuk orang kelainan upaya (OKU).

Walaupun kerajaan menetapkan matlamat hampir sama dalam penyediaan sistem pengangkutan luar bandar dengan bandar, kajian menunjukkan corak mobiliti kedua-dua golongan ini.

Tinjauan dijalankan menunjukkan terdapat cabaran besar dihadapi penduduk luar bandar kerana terpaksa lebih bergantung kepada kenderaan persendirian.

Antara faktornya, mereka tidak mempunyai pilihan mod pengangkutan lain kerana lokasi kediaman agak jauh daripada akses pengangkutan awam, malah perkhidmatan itu juga tidak memenuhi keperluan perjalanan mereka.

Kebergantungan kepada kenderaan persendirian bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat dewasa, malah trend ibu bapa masa kini menunjukkan mereka membelikan motosikal kepada anak bagi tujuan pengangkutan ke sekolah.

Apatah lagi perkhidmatan bas tidak efisien dan tiada akses berhampiran, manakala kos sewa van sekolah pula tinggi hingga pilihan menunggang motosikal lebih mudah dan murah walaupun ada risikonya.

Apa yang membimbangkan, penunggang motosikal dalam kalangan remaja sudah tentu belum memiliki, malah belum layak menerima lesen memandu. Tiada lesen bermaksud tidak kompeten dengan cara pemanduan selamat hingga tidak mustahil menjadi faktor kemalangan.

Cabaran lain dihadapi penduduk luar bandar adalah memiliki atau membeli kenderaan sendiri. Tidak semua mempunyai pendapatan mencukupi untuk membolehkan mereka membeli kenderaan baharu yang pastinya mempunyai ciri keselamatan tinggi.

Cara paling jimat adalah membeli kenderaan terpakai yang kadangkala usianya melebihi 20 tahun. Kebanyakan berpendapat apa yang penting kenderaan boleh dipandu, manakala ciri keselamatan bukan menjadi keutamaan.

 

Faktor kepadatan penduduk

Cabaran mobiliti di luar bandar ini bertambah dengan faktor kepadatan penduduk rendah hingga jumlah penumpang kurang untuk laluan pengangkutan awam.

Tidak ramai pengendali bas berminat melabur dalam pengangkutan dengan menyediakan pengangkutan setanding kualiti perkhidmatan dalam kawasan bandar seperti Lembah Klang. Kekurangan pelaburan dalam infrastruktur pengangkutan dalam kawasan masyarakat luar bandar ditambah peningkatan penggunaan jalan luar bandar dari semasa ke semasa juga menjejaskan keselamatan pengangkutan.

Semua cabaran ini perlu ditangani untuk kesejahteraan masyarakat luar bandar yang mengharapkan ada sesuatu membantu mobiliti mereka agar lebih efisien, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi tidak begitu memberangsangkan.

Hakikatnya, menaik taraf sistem dan rangkaian pengangkutan untuk masyarakat luar bandar bukan lagi berteraskan keuntungan, sebaliknya memenuhi keperluan sosial masyarakat.

Peningkatan kualiti rangkaian pengangkutan awam adalah kemestian kerana ia paling selamat dan rendah karbon, walaupun bukan perkara memberi pulangan tinggi.

 

Namun, kerajaan perlu mengambil kira keperluan jangka panjang hingga pembuat dasar perlu menangani masalah dan merancang penambahbaikan dengan memberi fokus keutamaan pembangunan ekonomi serta kesaksamaan sosial.

Ada beberapa pendekatan mungkin boleh dilaksanakan antaranya membangunkan luar bandar supaya menjadi kawasan tarikan seperti membuka pusat pekerjaan atau kawasan industri baharu, memajukan pelancongan atau membuka hab pendidikan.

Manfaat pembangunan dalam jangka panjang bukan sahaja memajukan rakyat dan menarik lebih ramai pelawat. Malah pada masa sama, ia boleh meningkatkan permintaan rangkaian pengangkutan khususnya pengangkutan awam.

Perkhidmatan bas komuniti antara contoh perkhidmatan bagus. Di Johor, perkhidmatan bas Muafakat Johor amat membantu masyarakat luar bandar bergerak dengan caj sangat murah.

Konsep bas sama juga ada terdapat di negeri lain seperti bas komuniti Shah Alam. Bagaimana pun, terdapat rungutan perkhidmatan ini tidak berjaya menarik perhatian di sesetengah kawasan luar bandar. Malah, ada juga laluan yang sangat kurang penumpangnya.

 

Kaji semula kehendak pengguna

Bagi meningkatkan penumpang, promosi dan kajian semula kehendak pengguna perlu dijalankan kerana mungkin perkhidmatan sedia ada tidak memenuhi keperluan penduduk. Kajian laluan bas mungkin boleh membantu agar masyarakat dapat menikmati perkhidmatan itu.

Pada masa sekarang, terdapat keperluan untuk semua perancangan pengangkutan meninjau perkhidmatan pengangkutan serta sumber sedia ada dalam kawasan luar bandar. Tidak semestinya perlu menumpukan terus kepada cadangan sistem pengangkutan sofistikated seperti Sistem Aliran Transit Ringan (LRT) yang pasti belum mempunyai permintaan tinggi seperti di bandar.

Bagaimanapun, promosi berkaitan pengangkutan aktif dan kenderaan tidak bermotor boleh diperkenalkan dengan giat. Infrastruktur lebih sesuai perlu disediakan seperti laluan berbasikal serta pejalan kaki. Infrastruktur ini tidak terlalu tinggi kosnya berbanding struktur pengangkutan darat lain.

Kaedah kongsi kereta yang sudah lama diamalkan di Barat, terutama di luar bandar juga berpotensi untuk dipromosikan di negara ini. Ia bukan sahaja membantu pergerakan, malah menjimatkan kos.

Skim perkongsian kenderaan juga bukan hanya boleh dipromosikan untuk kenderaan persendirian, bahkan kenderaan disediakan organisasi tertentu.

Walaupun masih terdapat pilihan memastikan mobiliti penduduk luar bandar terus aktif, dalam jangka panjang, kesaksamaan pengangkutan antara bandar dengan luar bandar masih perlu diberi perhatian dan dipertimbangkan. Pengangkutan adalah antara faktor penting dalam kemajuan sesuatu kawasan.

Artikel ini juga diterbitkan di :

1. beritaharian.com, 12 Oktober 2022 : https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/10/1011325/tingkat-akses-pengangkutanpenduduk-luar-bandar

PROFESOR MADYA DR. MUNZILAH MD. ROHANI 

Pusat Kajian Pemanduan Pintar (SDRC)

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)