Utusan Malaysia | 12 Oktober 2022 :

Oleh HIYAMA JUNKO @ NOOR SITI ABDULLAH dan SITI HAJAR BIDIN

KANEKO Mitsuharu merupakan seorang penyair Jepun yang dilahirkan pada 1895. Hasil penulisannya banyak dipengaruhi kesusasteraan Perancis kerana Kaneko pernah menetap di beberapa tempat di Eropah seperti England, Perancis dan Belgium selama kira-kira empat tahun.

Dalam perjalanan ke Perancis dan pulang ke Jepun, Kaneko pernah tinggal di Batu Pahat, Johor selama tiga bulan antara 1929 dan 1932. Dia tinggal di aras dua di dalam bangunan berhadapan jeti ke Muar (sekarang dijadikan Jabatan Kastam Batu Pahat). Sudut bangunan tersebut dibina pada 1925. Di bangunan itu juga pernah tertubuhnya Japan Club Batu Pahat.

Pada ketika itu, orang Jepun yang datang ke Batu Pahat dibolehkan tinggal di bangunan itu tanpa sebarang bayaran. Kaneko juga mempunyai bakat dalam melukis. Oleh yang demikian, beliau menjual hasil lukisannya kepada orang Jepun dan menggunakannya sebagai perbelanjaan perjalanan ke Perancis. Ketika itu, ramai orang Jepun yang bekerja di lombong dan ladang getah di Batu Pahat.

Pernah suatu ketika, Kaneko berhenti melakukan aktiviti menulis disebabkan kesempitan hidup yang dilaluinya di Eropah. Namun, apabila berada di Batu Pahat, dia memulakan semula minatnya dalam penulisan.

Kaneko menggunakan kelebihan sebagai seorang penyair untuk menggambarkan dengan jelas tentang alam semula jadi dan kehidupan masyarakat yang terdapat di Batu Pahat. Melalui pemerhatiannya, dia telah menggambarkan suasana ketika itu dalam sebuah buku yang ditulisnya dan diterbitkan pada 1940. Buku tersebut bertajuk Maree Ranin Kiko (Travelog Perjalanan di Tanah Melayu dan Jawa). Buku ini mengandungi 93 halaman muka surat.

MURAL yang terdapat di sebuah bangunan di Batu Pahat yang menunjukkan gambar seorang wanta Jepun memegang buku karya Kaneko Mitsuharu di depan bangunan Japan Club Batu Pahat. – IHSAN PENULIS

 

Buku yang Kaneko hasilkan masih lagi dapat menarik minat orang ramai untuk membacanya. Malahan, ia masih dijadikan rujukan sehingga hari ini terutama bagi orang Jepun yang melancong ke Asia. Ramai pelancong Jepun yang melancong ke Asia turut mengembara ke tempat – tempat yang diceritakan oleh Kaneko serta merasai sendiri suasana persekitaran seperti digambarkan dalam buku tersebut termasuklah di Batu Pahat. Malahan, ada dalam kalangan mereka menulis dan menggambarkan suasana yang mereka alami dalam perkhidmatan jaringan sosial (SNS) seperti blog dan Instagram peribadi masingmasing.

 

HUTAN TEBAL

Di dalam bukunya, Kaneko turut menyatakan mengenai orang Jepun yang suatu ketika dahulu pernah sangat mengagumi Barat, namun telah mulai kecewa dengan Barat setelah menyaksikan sendiri kehebatan, keceriaan dan layanan baik penduduk di Asia Tenggara. Orang Jepun mula merasakan bahawa mereka merupakan sebahagian daripada Asia.

“la masih dijadikan rujukan sehingga hari ini terutama bagi orang Jepun yang melancong ke Asia.”

Inilah antara perkara yang dicatatkan olehnya di dalam buku tersebut.

“Batu Pahat merupakan sebuah bandar dengan minda yang ceria yang wujud dari sebuah hutan tebal. Tiupan angin dari hutan dan laut bebas bertiup ke arah kota. Kehijauan dan kekuatan yang ganas mengelilingi kota, dan terus hidup subur di dalam hutan tanpa mampu dikalahkan oleh sesiapa.” (Dipetik dan diterjemah daripada Maree Ran-in kiko)

Ini merupakan antara ayat yang digambarkan oleh Kaneko di dalam bukunya. Dia menceritakan perbezaan antara kemeriahan sebuah bandar dengan keadaan alam rimba termasuklah sungai yang padat. Bandar dikatakan sebagai satu simbol kehidupan manusia dengan minda yang ceria, manakala alam semula jadi sebagai simbol dalam kehidupan yang kadangkala ganas dan kejam.

 

KELIP-KELIP

Dalam catatannya, Kaneko menggambarkan bahawa dia dapat melihat kayu-kayu api yang terletak berhampiran Sungai Batu Pahat melalui jendela bilik yang disewanya di aras dua dalam bangunan Japan Club. Dia juga dapat melihat kelip-kelip yang berkumpul di sekeliling kayu-kayu api itu.

Kaneko juga telah menulis sebuah puisi bertajuk Sajak Pokok Nipah. Dalam sajak tersebut, dia menyebut mengenai Batu Pahat. Kaneko telah menulis bagaimana daun pokok nipah yang tumbuh menegak ke arah langit di tepian sungai Batu Pahat. Dia turut menggambarkan bagaimana daun nipah yang dilihatnya meliuk lentuk menyapa permukaan air sungai. Daun muda yang tumbuh menegak memperlihatkan sisi kekuatan, manakala daunnya perlahan-lahan meliuk-lentuk dan bergoyang di gigi-gigi air menggambarkan kelembutannya yang tersendiri.

Inilah serba sedikit kisah Kaneko dan juga catatannya tentang Batu Pahat. Dengan erti kata lain, Batu Pahat bukanlah suatu tempat yang asing bagi orang Jepun. Sejarah telah membuktikan hubungan kerjasama antara Tanah Melayu dan Jepun yang wujud berkurun lamanya walaupun sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua. Hubungan yang terjalin tersebut lebih kepada hubungan ekonomi.

Artikel ini juga diterbitkan di :

1. malaysia gazette.com, 11 Oktober 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/10/11/batu-pahat-dalam-catatan-penyair-jepun-kaneko-mitsuharu/

2. bernama.com, 13 Oktober 2022 : https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2128489

 

 

Junko Himaya @ Noor Siti Abdullah

Siti Hajar Bidin (Penulis Bersama)

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)