Program Kepimpinan Harapan 2022 pupuk pelajar jadi pemimpin hebat

Seramai 102 calon pemimpin dari tiga kolej kediaman universiti yang menyertai Program Kepimpinan Harapan 2022.

Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim

SEMENYIH – Bagi membina dan memupuk ciri-ciri kepimpinan dalam diri pelajar, Majlis Pengetua-Pengetua Kolej Kediaman, Pusat Perumahan Pelajar (PRP) telah menganjurkan Program Kepimpinan Harapan (PKH) pada 08 hingga 10 September 2022 lalu bertempat di AsiaCamp, Semenyih, Selangor.

Program yang bertemakan ‘Memperkasakan Kepimpinan Mahasiswa Holistik’ ini merupakan program tahunan yang ke-20 sejak bermula pada tahun 2002.

Program selama tiga hari itu diisi dengan sesi perkongsian bagaimana membina imej kelas pertama, ciri komunikasi pemimpin berkaliber serta teknik pengurusan tekanan dan konflik.

Di samping itu, para peserta turut didedahkan dengan tatacara penulisan kertas kerja dan juga kaedah penganjuran sesuatu program.

Menurut pengarah program, Dr. Nur Ilyani Ramli program ini telah disertai oleh 102 calon pemimpin dari tiga kolej kediaman universiti.

Tambah beliau, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada setiap peserta berkenaan kepimpinan dan organisasi.

“Program ini sangat penting bagi melahirkan kumpulan kepimpinan pelajar yang bercirikan holistik dan seimbang dari aspek ilmu dan akhlak serta semangat jati diri dan personaliti kepimpinan yang tinggi,” katanya.

Kesemua peserta yang menyertai program itu diberikan watikah pelantikan sebagai ahli MKP oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Sr. Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail.

Untuk rekod, MKP merupakan salah satu organisasi yang berada di bawah bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).

Ia merupakan organisasi yang terdiri daripada para pelajar yang menghuni satu-satu kolej kediaman.

 

Categories
Hal Ehwal Pelajar
Subscribe