Oleh Ts. Dr. Shelena Soosay Nathan

BATU PAHAT, 21 September 2022 – Bagi memberi ruang kepada pelajar untuk berkongsi hasil projek dan idea mereka dalam bidang Internet of Things (IoT) serta teknologi maklumat, satu program Advanced Global Project Based Learning (AgPBL) 3.0 yang bertemakan Towards Research and Project Development telah diadakan secara dalam talian pada 21 September 2022 lalu.

Program anjuran bersama Kumpulan Fokus ITecH, Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma itu di bawah kelolaan Ts. Dr. Shelena Soosay Nathan bersama Shibaura Insititute of Technology (SIT), Jepun dan KLS Gogte Institute of Technology, India.

Program yang disertai pelajar dan ahli akademik dari ketiga-tiga institusi terlibat itu adalah susulan daripada penganjuran program gPBL yang telah dilaksanakan pada tahun 2019 di SIT dan kemudian secara dalam talian pada tahun 2021.

Menurut Dr. Shelena, program pada tahun ini dianjurkan bersama tiga negara seperti yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh ketiga-tiga institusi terlibat.

“Ini sebagai usaha untuk mewujudkan peluang yang lebih tinggi untuk penganjuran program pelajar seperti mobiliti ke negara-negara tersebut pada masa akan datang,” katanya.

Seramai 60 pelajar daripada SIT, UTHM dan KLS telah menyertai program ini dengan tujuan untuk membentangkan hasil projek dan idea masing-masing dalam bentuk Parallel Session.

Turut diadaka,n sesi undian bagi memilih projek dan idea terbaik bagi setiap sesi yang telah berlangsung dan pengumuman pemenang bertuah.

“Program yang mengaplikasikan pembelajaran berasaskan projek ini telah berupaya membuka peluang kolaborasi antarabangsa antara kedua-dua institusi dalam bidang IoT, sekali gus membantu melahirkan pakar bertaraf profesional merentasi kehendak global,” katanya.