BANDUNG, INDONESIA – Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Madya Ts. Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq telah dilantik sebagai Executive Board Member dalam Regional Association of Vocational and Technical Education in Asia (RAVTE).

Lantikan ini membuktikan staf akademik UTHM diberi kepercayaan yang tinggi oleh pihak RAVTE dalam membantu mengukuhkan rangkaian TVET di Asia.

Pelantikan baharu tersebut telah dibuat semasa berlangsungnya Mesyuarat Tahunan RAVTE yang dijalankan di Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Bandung, Indonesia pada 9 dan 10 Ogos 2022.

RAVTE merupakan rangkaian organisasi melibatkan ahli daripada 26 institusi di Asia yang komited mengekalkan rangkaian pendidikan vokasional dan teknikal yang cemerlang dan terkenal di Asia melalui perkongsian visi, kepentingan bersama, kerjasama yang kukuh, kepercayaan dan keterbukaan bagi memanfaatkan pendidikan TVET dan tenaga kerja masyarakat.

Mesyuarat Tahunan RAVTE yang berlangsung di Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Bandung juga turut dihadiri Profesor Emeritus Dr. Jailani selaku Advisory Board Member dan Ts. Dr Affero Ismail yang telah dilantik sebagai keynote 7th UPI TVET Conference.

Misi RAVTE adalah untuk menekankan kepentingan TVET secara amnya dan VTE khususnya di peringkat serantau dan nasional.

RAVTE berhasrat untuk menyokong pembangunan kakitangan bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan TVET serta memupuk aktiviti dan pembangunan integrasi yang berterusan di negara-negara Asia Timur dan Tenggara.

Pelantikan baharu dan kehadiran pihak UTHM memberi keyakinan kepada pihak RAVTE dalam memastikan adanya kepakaran dan pendapat TVET dari Malaysia untuk diketengahkan kepada institusi TVET di rantau Asia.