Keratan Akhbar: Malaysia perlu bebas dari belenggu perkauman

SAHABAT... Dari kiri Saai Dhanyaa,5, Erica Sofia Abdul Shafik,4 dan Wong Su Han,5 berpelukkan antara satu sama lain sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tadika Q-Dess, Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 OGOS 2019

Malaysia Gazette.com, 29 Ogos 2022 :

TANGGAL 31 Ogos 2022, Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-65 kemerdekaannya. Dalam usia sebegini, Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah negara yang telah matang. Dalam konteks sebuah negara, matang membawa erti kemampuan sesebuah negara itu bertindak balas terhadap sesuatu konflik dalaman secara tenang, tertib dan tidak membarah. Dalam tempoh lebih setengah abad, seharusnya sesebuah negara itu telah cukup masa untuk bereksperimentasi dengan pelbagai konflik sosial yang kebanyakannya berkisar kepada isu suku kaum, agama, budaya mahupun bahasa.

Sebuah negara yang matang sapatutnya sudah mampu menganggap konflik sosial seperti itu hanyalah kes biasa yang mampu dilerai dengan mudah berpandukan persefahaman dan batas undang-undang sedia ada. Tumpuan utama sebuah negara yang matang adalah ke arah mewujudkan kestabilan serta meningkatkan taraf hidup rakyat ke tahap yang terbaik dan bukan lagi bergelut dengan isu-isu dalaman yang hanya melemah dan menghambat negara dari bergerak maju.

Realitinya, pada ketika ini Malaysia masih dihambat dengan masalah kerapuhan kerukunan antara kaum. Konflik perkauman boleh tercetus hanya dengan isu-isu cemburu dan prejudis yang remeh. Ternyata tidak mudah untuk memadam kesan dasar “pecah dan perintah” yang diperkenalkan oleh British menyebabkan wujudnya pemisahan dari segi tempat tinggal dan pekerjaan antara orang Melayu, Cina dan India. Ini memberi implikasi besar bukan sahaja kepada polarisasi dan hubungan kaum malah kepada sistem pendidikan di negara hingga ke hari ini.

Sebagai sebuah negara yang rakyatnya majmuk berbilang kaum, sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke arah memanfaatkan kepelbagaian sebagai sumber kekuatan. Berbilang kaum dan kepelbagaian adat budaya seharusnya menjadi kekuatan bagi Malaysia dengan menggembleng kelebihan yang ada melalui ikatan perpaduan yang jitu.

Perpaduan kaum memerlukan kesepaduan sosial iaitu “proses membina nilai bersama dan intepretasi masyarakat bagi membolehkan penduduk sensitif terhadap perkara yang sama dan menghadapi masalah secara bersama dalam sebuah negara” (Maxwell 1996).

Jenson (1998) pula menyatakan bahawa kesepaduan sosial merujuk kepada kemahuan saling kebergantungan antara ahli masyarakat, berkongsi nilai-nilai kesetiaan bagi tujuan perpaduan. Perkara ini merupakan proses membangunkan masyarakat mengenai perkongsian nilai, perkongsian cabaran, peluang sama rata berdasarkan kepada kepercayaan, harapan dan kesalingbergantungan. Ia juga merupakan satu proses sosial yang membantu individu membina rasa kepunyaan dalam komuniti yang sama.

Di pihak kerajaan, semenjak peristiwa hitam pergaduhan etnik 13 Mei 1969, pelbagai inisiatif dan pendekatan telah diambil bagi memperkukuhkan perpaduan antara kaum agar ia tidak mengganggu usaha pembangunan. Di era mutakhir, matlamat Wawasan 2020 melalui konsep mewujudkan Bangsa Malaysia yang mempunyai matlamat untuk dikongsi bersama. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 2010 pula, terus memperkukuh iltizam perpaduan kaum. Namun isu perkauman masih menjadi duri dalam daging bagi negara.

Seharusnya Rukun Negara menjadi pegangan dan ramuan asimilasi utama yang membolehkan rakyat berbilang kaum ‘bersatu atas sesuatu’ yang lebih faktual serta praktikal dengan kerencaman kaum yang ada. Contohnya rukun ‘kesopanan dan kesusilaan’ sepatutnya menjadi asas pegangan dalam mengharungi apa jua konflik.

Adakalanya kita perlu juga melihat bagaimana negara-negara jiran terdekat kita menyemai bibit perpaduan dalam kalangan rakyat mereka. Jika Indonesia melalui Pancasila mereka, Sila ketiga iaitu ‘persatuan Indonesia – pancasila sebagai ideologi negara Indonesia’, ternyata berjaya menenggelamkan elemen budaya yang menonjolkan perkauman dan menjadikan mereka lebih ‘Indonesia’ berbanding menjadi Jawa, Batak, Bugis, Sunda ataupun Madura. Begitu juga di bumi Temasik, Ikrar Negara Singapura telah berjaya memperteguh perpaduan kaum berdasarkan kepada keadilan dan persamaan untuk mencapai kebahagiaan.

Dalam aspek pendidikan, kajian semula keberkesanan kurikulum kebangsaan khususnya dalam mewujudkan integrasi nasional perlu dilakukan. Kewujudan sekolah vernakular juga perlu diteliti dengan jujur dan mendalam mengambil kira kesannya terhadap kewujudan integrasi kaum.

Para pemimpin politik mahupun komuniti perlu lebih bertanggungjawab dalam berperanan selaku ejen perpaduan dan bukan sebaliknya manjadi populis dengan menjuarai sentimen perkauman umpama api di dalam sekam.

Kedaulatan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi di institusi pendidikan dan sektor awam perlu diperkasakan. Ini kerana bahasa adalah alat komunikasi yang berkesan dan bertujuan melahirkan satu identiti kebangsaan dan kesepaduan nasional.

Setiap warganegara perlu boleh berkomunikasi di dalam bahasa Melayu dengan fasih kerana telah lebih separuh abad Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan Malaysia sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan

Peranan media sosial pula sangat memberi impak kepada keharmonian serta suhu perkauman di mana-mana negara. Sebaran maklumat yang tidak bertanggungjawab, fitnah dan adu domba sangat mudah tular seterusnya diikuti. Pihak berkuasa harus bertindak lebih tegas kepada pihak yang menyalahgunakan media sosial hingga mencetuskan api perkauman. Telah banyak pertelingkahan kaum di dekad akhir ini tercetus dan marak angkara penyalahgunaan media sosial.

Negara tidak mampu lagi untuk terus kerugian sumber masa, tenaga dan wang ringgit yang berharga semata-mata untuk menyelesaikan permasalahan yang tak sepatutnya wujud iaitu konflik perkauman yang berterusan.

Sambutan kemerdekaan ke-65 ini seharusnya menyuntik semangat baru kepada bangsa Malaysia untuk memperkukuh jati diri, saling menghormati antara kaum serta bersatu padu dalam menjayakan agenda pembangunan negara. Seperti mana yang dinyatakan oleh aktivis masyarakat yang juga Ahli Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye “Perpaduan boleh menjadi benang rapuh yang mudah putus. Atau ia boleh menjadi sangkar kuat yang dapat memantapkan bangsa dan negara. Pilihan adalah milik kita”.

Berita ini diterbitkan di : https://malaysiagazette.com/2022/08/29/malaysia-perlu-bebas-dari-belenggu-perkauman/ 

Shafry Salim

Timbalan Pendaftar

Bahagian Pentadbiran Modal Insan

Pusat Kepimpinan dan Kompetensi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

 

Categories
Keratan Akhbar 2022
Subscribe