Keratan Akhbar : Terap semangat patriotisme dalam usaha pemuliharaan alam sekitar

Berita Harian, 30 Ogos 2022 :

Oleh Muhaymin Hakim Abdullah bhrencana@bh.com.my

Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini terdapat beberapa isu pencemaran alam sekitar memberikan impak besar kepada ekosistem negara.

Dua isu terpenting adalah pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor pada 2019 dan isu perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang pada 2015.

Insiden banjir lumpur di Gunung Inas, Baling dan tragedi banjir disebabkan fenomena ‘kepala air’ di Gunung Jerai, Kedah antara isu pencemaran alam sekitar terbaru yang mengejutkan negara.

Selain itu, negara juga masih berdepan aktiviti pembuangan sampah sarap secara berleluasa ke dalam sungai, perlombongan haram, pembalakan tidak terkawal dan pembakaran secara terbuka yang merosakkan ekosistem alam sekitar.

Pelbagai kempen kesedaran kepada rakyat supaya sentiasa memelihara alam sekitar dijalankan, malangnya kes pencemaran alam terus berlaku.

Kempen dijalankan seolah-olah ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’. Masih ada rakyat tidak berusaha atau membantu memulihkan atau memulihara alam sekitar.

Setakat ini, usaha pendidikan dan kempen ini seperti tidak memberi apa-apa impak positif diharapkan walaupun jutaan ringgit dilaburkan untuk melaksanakan program kesedaran dan cintai alam sekitar.

Adakah apabila berlaku bencana alam seperti musibah banjir besar, kemarau berpanjangan dan ribut taufan baru menyedarkan manusia.

Tidak dinafikan, kita masih gagal menyedarkan masyarakat untuk terus memulihara alam sekitar. Umumnya terdapat tiga punca pencemaran alam sekitar.

Ia berkaitan dengan sikap tamak untuk mengaut untung secara mudah dan pantas, kelemahan aspek penguatkuasaan undang-undang serta kealpaan masyarakat untuk sama-sama cakna menjaga alam sekitar.

Kurang kesedaran, pengetahuan

Rakyat sewajarnya membantu pihak berkuasa untuk menjadi mata dan telinga bagi mencegah masalah ini. Sekiranya semangat menjaga alam sekitar dipupuk bersungguh-sungguh sama seperti memupuk semangat patriotisme, kesannya dipercayai lebih berganda.

Kesedaran bersungguh-sungguh setiap individu dalam masyarakat bagi menangani isu ini pula akan menambahkan impak berganda terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar.

Secara amnya, kurang kesedaran dan pengetahuan penggiat industri di negara ini terhadap kebaikan melaksanakan teknologi hijau dilihat menyumbang kepada masalah ini.

Pengurusan tidak cekap sumber semula dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui masih kurang diamalkan secara meluas di Malaysia.

Selain itu, sisa pepejal juga tidak diuruskan dengan baik dalam aktiviti sosioekonomi manusia. Amalan seperti rethink (fikir semula), reuse (guna semula), reduce’ (kurangkan), recycle (kitar semula), repair (baik pulih) atau 5R perlu dipupuk dalam masyarakat seperti kita memupuk semangat patriotisme.

Bermakna, setiap peringkat masyarakat sama ada komuniti setempat atau individu perlu meningkatkan kesedaran terhadap usaha penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar.

Kesedaran ini perlu diperluas seperti kerajaan dan pihak berkaitan berusaha meningkatkan kesedaran dan semangat patriotisme terhadap negara.

Masih ada waktu bagi pihak berkuasa merancang serta menguatkuasakan dasar baharu kepada penggiat industri dan pemaju perumahan supaya memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di seluruh negara untuk mewujudkan sistem menjaga alam sekitar secara mapan.

Selain perlu mematuhi undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, langkah pengurangan pelepasan karbon terutama daripada industri dan asap kenderaan juga harus dilakukan secara serius bagi mengurangkan pencemaran udara dan memelihara alam sekitar.

Pendek kata, setiap anggota masyarakat perlu lebih prihatin, komited dan serius untuk bersama-sama menjaga alam sekitar seperti kita menjaga kemakmuran dan kemerdekaan negara ini.

Berita ini juga diterbitkan di :

bharian.com, 30 Ogos 2022 : https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2022/08/994497/terap-semangat-patriotisme-dalam-usaha-pemuliharaan-alam-sekitar

Muhaymin Hakim bin Abdullah

Pensyarah

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

 

 

Categories
Keratan Akhbar 2022
Subscribe