Berita Harian, 17 Ogos 2022 :

Tanggal 31 Ogos 2022, Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-65 kemerdekaannya. Dalam usia sebegini, Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah negara matang.

Dalam konteks sebuah negara, matang membawa erti kemampuan sesebuah negara itu bertindak balas terhadap sesuatu konflik dalaman secara tenang, tertib dan tidak membarah.

Dalam tempoh lebih setengah abad, seharusnya sesebuah negara itu cukup masa untuk ‘melakukan eksperimen’ dengan pelbagai konflik sosial yang kebanyakannya berkisar kepada isu suku kaum, agama, budaya mahupun bahasa.

Sebuah negara matang sepatutnya mampu menangani konflik sosial hanya seperti kes biasa mampu dilerai dengan mudah berpandukan persefahaman dan batas undang-undang.

Tumpuan utama sebuah negara matang adalah ke arah mewujudkan kestabilan serta meningkatkan taraf hidup rakyat ke tahap terbaik dan bukan lagi bergelut dengan isu dalaman yang hanya melemah serta menghambat negara daripada bergerak maju.

Realitinya, ketika ini Malaysia masih dihambat dengan masalah kerapuhan kerukunan antara kaum. Konflik perkauman boleh tercetus hanya dengan isu cemburu dan prejudis yang remeh.

Ternyata tidak mudah untuk memadam kesan dasar ‘pecah dan perintah’ diperkenalkan British menyebabkan wujud pemisahan dari segi tempat tinggal dan pekerjaan antara orang Melayu, Cina dan India.

Ini memberi implikasi besar bukan sahaja kepada polarisasi dan hubungan kaum, malah kepada sistem pendidikan negara hingga hari ini. Sebagai sebuah negara yang rakyatnya majmuk berbilang kaum, sudah tiba masa Malaysia bergerak ke arah memanfaatkan kepelbagaian yang wujud sebagai sumber kekuatan.

Berbilang kaum dan kepelbagaian adat budaya seharusnya menjadi kekuatan bagi Malaysia dengan menggembleng kelebihan yang ada melalui ikatan perpaduan jitu.

Perpaduan kaum mengikut sarjana dan cendekiawan memerlukan kesepaduan sosial iaitu bagi membina nilai bersama masyarakat serta saling bergantung atas nilai kesetiaan dalam sebuah negara.

Perkara ini adalah proses membangunkan masyarakat mengenai perkongsian nilai, cabaran, peluang sama rata berdasarkan kepada kepercayaan, harapan dan kesalingbergantungan.

Ia juga satu proses sosial membantu individu membina rasa kepunyaan dalam komuniti yang sama. Pada pihak kerajaan, semenjak peristiwa hitam 13 Mei 1969, pelbagai inisiatif dan pendekatan diambil bagi memperkukuhkan perpaduan antara kaum supaya ia tidak mengganggu usaha pembangunan.

Pada era mutakhir, matlamat Wawasan 2020 adalah mewujudkan Bangsa Malaysia mempunyai matlamat untuk dikongsi bersama. Konsep 1Malaysia diperkenalkan pada 2010 pula, memperkukuh iltizam perpaduan kaum.

Namun, isu perkauman masih menjadi duri dalam daging bagi negara. Seharusnya Rukun Negara menjadi pegangan dan ramuan asimilasi utama membolehkan rakyat berbilang kaum ‘bersatu atas sesuatu’ yang lebih nyata serta praktikal dengan kerencaman kaum yang ada.

Contohnya rukun ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ sepatutnya menjadi asas pegangan rakyat dalam mengharungi apa juga konflik dalam negara. Adakalanya kita perlu melihat bagaimana negara jiran terdekat menyemai bibit perpaduan dalam kalangan rakyat mereka.

Jika Indonesia melalui Pancasila, Sila ketiga iaitu ‘Persatuan Indonesia – pancasila sebagai ideologi negara Indonesia’, ternyata ia berjaya menenggelamkan elemen budaya yang menonjolkan perkauman dan menjadikan mereka lebih ‘Indonesia’ berbanding menjadi Jawa, Batak, Bugis, Sunda atau Madura.

Begitu juga di bumi Temasik, Ikrar Negara Singapura berjaya memperteguh perpaduan kaum berdasarkan kepada keadilan dan persamaan untuk mencapai kebahagiaan.

Pemimpin perlu main peranan

Dalam aspek pendidikan, kajian semula keberkesanan kurikulum kebangsaan khususnya dalam mewujudkan integrasi nasional perlu dilakukan. Pemimpin politik, mahupun komuniti perlu lebih bertanggungjawab dalam berperanan selaku ejen perpaduan dan bukan sebaliknya menjadi populis dengan menjuarai sentimen perkauman ‘umpama api dalam sekam’.

Kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di institusi pendidikan dan sektor awam perlu diperkasakan. Bahasa adalah alat komu- nikasi berkesan dan bertujuan melahirkan satu identiti kebangsaan dan kesepaduan nasional.

Setiap warganegara sepatutnya perlu dan boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan fasih kerana lebih separuh abad bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Impak media sosial

Peranan media sosial pula sangat memberi impak kepada keharmonian serta suhu perkauman di mana-mana negara. Sebaran maklumat yang tidak bertanggungjawab, fitnah dan adu domba sangat mudah tular seterusnya diikuti.

Dalam hal ini, pihak berkuasa harus bertindak lebih tegas kepada pihak menyalahgunakan media sosial hingga mencetuskan api perkauman. Banyak pertelingkahan kaum pada dekad ini tercetus dan marak angkara penyalahgunaan media sosial.

Negara tidak mampu lagi untuk terus kerugian sumber masa, tenaga dan wang ringgit yang berharga semata-mata untuk menyelesaikan permasalahan yang tidak sepatutnya wujud iaitu konflik perkauman berterusan.

Sambutan kemerdekaan ke-65 tahun ini seharusnya menyuntik semangat baharu kepada bangsa Malaysia untuk memperkukuh jati diri, saling menghormati antara kaum serta bersatu padu dalam menjayakan agenda pembangunan negara.

Seperti dinyatakan aktivis masyarakat yang juga Ahli Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye: “Perpaduan boleh menjadi benang rapuh mudah putus. Ia boleh menjadi sangkar kuat yang dapat memantapkan bangsa dan negara. Pilihan adalah milik kita.”

 

Timbalan Pendaftar

Bahagian Pentadbiran Modal Insan

Pusat Kepimpinan dan Kompetensi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)