Oleh Hafizah Muhammad Elham
BATU PAHAT, 2 Julai 2022 – Bagi meningkatkan kemahiran kendiri setiap ahli, pelajar Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) bersama Pegawai RELA (Bersekutu), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalani Program Ujian Kemahiran Menembak RELA (UKMR) pada 2 Julai 2022 lalu.
Program yang diadakan di Lapang Sasar Persatuan Menembak Johor (JSA), Jalan Tanjung Labuh, Batu Pahat itu diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai pengenalan kepada jenis dan ciri-ciri model senjata api, langkah-langkah keselamatan dan cara-cara mengendalikan senjata api, panduan serta kefahaman berkaitan tatacara mengurus tadbir aktiviti serta latihan mengikut modul-modul yang telah ditetapkan oleh RELASIS.
Selain itu, UKMR dapat memberi pengalaman kepada para pelajar dan dapat melahirkan keyakinan diri, ketahanan mental dan fizikal kepada para pelajar yang menyertai.
Program ini telah sempurnakan oleh Penolong Pesuruhjaya Kanan RELA (Bersekutu), Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar, Komander Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) UTHM.
Turut hadir, Pegawai RELA Daerah Batu Pahat, Pegawai RELA (Bersekutu) dan Pengurusan Persatuan Menembak Johor.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa untuk memberi peluang kepada pelajar RELASIS bagi menonjolkan bakat masing-masing untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.