PUTRAJAYA – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk memperkasakan lagi TVET di peringkat nasional khusus dalam bidang pendidikan, latihan dan penyelidikan.

Majlis MoU yang berlangsung di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi pada 2 Jun lalu disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

MTUN diwakili Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM; Profesor Dr. Zaliman Sauli, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Profesor Dr. Massila Kamalrudin, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) manakala JPPKK diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Ts. Zainab Ahmad.

Menurut Prof. Ruzairi, MoU ini bakal memberi manfaat jangka masa panjang kepada JPPKK dan MTUN menerusi kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan latihan, mahupun perkongsian inisiatif dua kolaborasi bersama industri serta peluang pensyarah politeknik dan kolej komuniti menyambung pengajian ke peringkat sarjana atau doktor falsafah serta artikulasi program.

“Sebagai universiti perintis dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini, UTHM akan sentiasa menyokong hasrat utama kerajaan bagi memperkasakan TVET dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di peringkat nasional.

“Semoga inisiatif seumpama ini dapat membantu negara melahirkan lebih ramai graduan TVET yang akan memenuhi pasaran kerja berkemahiran,” katanya.

UTHM kini menawarkan 15 program teknologi kejuruteraan di peringkat sarjana muda, satu di peringkat sarjana, satu di peringkat doktor falsafah dan empat program diploma.

Sementara itu, YB Menteri menyarankan agar Centre of Excellence (COE) MTUN dan Centre of Technology (COT) Politeknik mengembeling tenaga dalam memperkasakan aktiviti kolaborasi, perkhidmatan kepakaran serta penyelidikan dan juga inovasi.

Inisiatif ini seiring aspirasi KPT Prihatin yang akhirnya berupaya memperkasakan TVET agar dilihat saling melengkapi dengan keperluan kemahiran dan teknikal komuniti hari ini.