Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya melebarkan sayap digitalnya apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bagi bekerjasama dalam kerja-kerja penyelidikan dan inovasi digital di peringkat nasional dan juga global.

MoU ini telah dimeterai oleh kedua-dua pihak dalam satu majlis yang diadakan di TEGAS Digital Innovation Hub & Digital Village, Kuching, Sarawak bersempena Majlis Perasmian MYStartup East-Malaysia Region Roadshow Sarawak yang telah dirasmikan oleh Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Perjanjian kerjasama ini dibuat melalui kumpulan penyelidikan dalam bidang Dayatahan Alam Bina (Resilient Built Environment) yang diketuai oleh Profesor Madya Sr Dr. Noralfishah Sulaiman dari KANZU Research: Resilient Built Environment, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB).

Menurut Dr. Noralfishah, perjanjian kerjasama antara UTHM dan TEGAS ini bertujuan untuk menggalakkan minat dan inisiatif digital dalam penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersilan di Sarawak serta meneroka peluang kerjasama dengan KANZU menggunakan platform digital pengurusan bencana yang dikenali sebagai MOBILISE Digital Platform serta pembangunan Digital Disaster Living Lab (DDLL) yang dikenali sebagai RESILIENCE4FWRD Lab: Resilient & Agile Cities for Future.

Selain itu, kerjasama ini juga bagi mewujud dan menyelaras aktiviti berkaitan TVET, STEM, inovasi digital keusahawanan di TEGAS Digital Innovation Hub di Kuching, Bintulu dan Miri, menyediakan perkhidmatan latihan dan perundingan bersama dengan pihak KANZU berkaitan dengan inovasi digital, pengurusan bencana dan keusahawanan dan pelaksanaan mana-mana bidang kerjasama lain yang akan dipersetujui bersama.

Sesi pertukaran dokumen MoU antara UTHM dan TEGAS diwakili Dekan FKAAB, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Irwan Juki selaku wakil rasmi Naib Canselor manakala TEGAS Digital Village pula diwakili Pengurus Besarnya, Manzoor Hayat Khan sambil disaksikan Dato’ Sri Dr. Adham.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datu Haji Len Talif Salleh; Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn. Bhd., Norman Matthieu Vanhaecke; Ahli Lembaga Pemegang Amanah TEGAS; pemain-pemain serta pemegang taruh ekosistem start-up dan digitalisasi negeri Sarawak.

Turut diadakan, perasmian siri jelajah ‘MYStartup Roadshow’ yang dianjurkan MOSTI menerusi agensi di bawahnya, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) bagi meneruskan kesinambungan momentum dan usaha mewujudkan sebuah ekosistem start-up yang terangkum dan kondusif.

Kuching merupakan hentian keempat dalam siri jelajah MYStartup yang sebelum ini telah diadakan di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Dato’ Sri Dr. Adham dalam ucapan perasmiannya berkata MOSTI dan Cradle sangat berbesar hati kerana mendapat sokongan padu dan kerjasama daripada rakan-rakan komuniti setempat.

Antaranya termasuklah TEGAS Digital Village, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), iCube, Innovation dan Sarawak Media Group (SMG) yang berganding bahu dalam memajukan pergerakan dan perkembangan komuniti start-up di negeri tersebut.

Tambah Dr. Noralfishah KANZU Research, UTHM sangat berbesar hati dan berterima kasih dengan termeterainya MoU tersebut bersama pihak TEGAS.

“MoU ini merupakan bentuk kerjasama kedua antara KANZU Research dengan agensi berteraskan agenda digital ekonomi di negeri Sarawak.

“Sebelum ini, KANZU Research telah menandatangani MoU dengan pihak Sarawak Multimedia Authority (SMA) pada tahun 2019 dalam kerja-kerja penyelidikan berhubung Risiko Pengurangan Bencana Digital yang turut disertai oleh lain-lain pemegang taruh digital di negeri Sarawak,” katanya.

 

*Profesor Madya Sr Dr. Noralfishah Sulaiman (dua dari kanan) bersama Datu Hj Len Talif Salleh (tiga dari kiri), Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Sarawak.