Tiga pelajar FKAAB tubuh syarikat Perkongsian Liabiliti Terhad, sahut cabaran GTU2030  

Oleh Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah

BATU PAHAT – Tiga pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Awam Dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersepakat menubuhkan Syarikat Perkongsian Liability Terhad bagi menyokong hala tuju baharu UTHM iaitu menjadi Global Technopreneur University menjelang tahun 2030 (GTU 2030).

Wan Muhammad Eddie Khusyairi Wan Chik sebagai pengarah merangkap peneraju syarikat manakala Ahmad Khairul Abd Malik dan Ku Muhammad Firdaus Ku Meh pula sebagai pengarah merangkap pemegang saham syarikat.

Sebelum ini masing-masing pernah mempunyai perniagaan sendiri dan berlatar belakangkan perniagaan yang sama.

Setelah berbincang dengan penyelaras keusahawanan universiti, Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah dan Ts Ahmad Raqib Ab. Ghani serta mentor-mentor Syarikat Terbitan Universiti yang terdiri daripada Prof. Madya Ts. Dr. Aziman Madun, Dr. Faizal Pakir, Dr. Mohd Khaidir Abu Talib dan Ts. Dr. Firdaus bin Md Dan @Azlan maka tertubuhlah PRECISE ENGINEERING PLT.

Kesemua mentor ini merupakan pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam perundingan dan berkemahiran dalam pengurusan perniagaan.

Syarikat Precise Engineering PLT akan menerima projek berkaitan kerja-kerja binaan, baik pulih bangunan, reka bentuk landskap luaran dan dalaman serta lain-lain kerja yang berkaitan dengan kejuruteraan awam.

Syarikat yang mula beroperasi di FKAAB pada 15 Jun 2022 mendapat sokongan penuh daripada Dekan FKAAB, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Irwan Juki.

Menurut Dr. Irwan, oleh kerana syarikat ini merupakan syarikat pelajar pertama ditubuhkan di fakulti ini yang menjurus kepada kejuruteraan awam, pihaknya akan cuba membantu kumpulan pelajar ini  dari segi kepakaran perundingan.

Justeru itu, satu sesi ringkas penyerahan kunci ruang inkubator atau ruang pejabat Precise Engineering PLT telah diadakan melibatkan kehadiran Dekan, disaksikan oleh Timbalan Dekan HEPA, Prof. Madya Ts. Dr. Azeanita Suratkon.

 

Categories
Hal Ehwal PelajarKejuruteraan Awam dan Alam Sekitar
Subscribe