Oleh Suhailah Muhammad Philip

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jawatankuasa Pelan Data dan Peranti UTHM dan Jawatankuasa Digital UTHM telah membantu pelajar golongan B40 menerima bantuan peranti komputer riba dan pelan data bagi kegunaan pembelajaran.

Serahan sumbangan peranti dan pelan data telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar kepada wakil pelajar Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi dan Timbalan Yang Dipertua, Saiyidah Syasya Aliah Ahmad Sallehudin semasa berlangsungnya Majlis Perasmian Penutupan Jom Masuk IPT tahun 2022 bagi Zon Selatan di Dewan Sultan Ibrahim pada 24 Jun 2022.

Jumlah peruntukan daripada universiti bagi 100 unit komputer riba bernilai RM199,500.00 manakala pelan data bernilai RM127,200.00 untuk 1000 pelajar.

Menurut Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Haszrinaz Husain@Hashim, proses yang dilaksanakan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar merupakan satu proses kerja yang perlu dirancang dengan rapi.

“Proses kerja melibatkan hebahan kepada pelajar, pemilihan pelajar yang layak melalui sesi temubual dan sistem had kifayah serta pemilihan akhir pengesahan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pelan Data dan Peranti UTHM,” katanya.

UTHM berharap dengan penerimaan bantuan peranti dan pelan data tersebut, kebajikan pelajar B40 di UTHM dapat dijaga dan mereka dapat meneruskan pengajian di universiti ini dengan sebaik mungkin.