BATU PAHAT, 26 Mei 2022 – Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) Konvokesyen Ke-21 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Ruzain Hamidon merupakan seorang yang aktif dalam pelbagai kegiatan ko-kurikulum terutamanya yang berkaitan kepimpinan, mobiliti, debat dan pidato.

Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Pelajar Awam dan Construction Brigade di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) bagi Sesi 2018/2019.

Di peringkat kebangsaan beliau telah terpilih ke Malaysia Youth Leader Assembly 2020 dan di peringkat antarabangsa telah mewakili Malaysia ke ASEAN Future Leader Summit bagi tahun 2020 dan 2021.

Beliau juga aktif menyertai program mobiliti pelajar di peringkat antarabangsa seperti China-Malaysia TVET and Culture Centre, dan Asia Technological University Network (ATU-Net) Online Global Culture.

Minat dan kebolehan beliau dalam debat dan pidato juga terserlah, antaranya apabila beliau menjadi panel Jemputan dalam E-Forum Kebangsaan (Belia Malaysia: Bersediakah di Pentas Global?) pada September 2020.

Beliau sempat meninggalkan berpesan kepada bakal-bakal graduan di luar sana antaranya :

  1. Jangan sekadar mengejar segulung ijazah, perbetulkan niat untuk menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.
  2. DUIT : Doa – selalu berdoa supaya dipermudahkn urusan di dunia mahupun di akhirat). Usaha – Usaha sedaya mungkin dalam melakukan sesuatu, sekali jatuh bukan selama-lamanya jatuh). Iktibar – terima segala hakikat jika Tuhan sudah tetapkan bukan rezeki kita, namun begitu, teruskan berusaha). Tawakal – kita sudah usaha, kita sudah berdoa, selebihnya berserahlah kepada Allah.
  3. Seimbangkan akademik dan kokurikulum, berani untuk meneroka sesuatu yang baharu supaya boleh menjadi nilai tambah kepada diri.
  4. Hormati barisan pengajar, jika barisan pengajar mempunyai salah atau silap, tegur secara baik dan beradab kerana manusia mampu memperbaiki diri untuk menjadi lebih sempurna.