BATU PAHAT, 26 Mei 2022 – Ketika disahkan positif kanser, dunia terasa terhenti seketika buat Junita Abd Rahman, 43 graduan Ijazah Doktor Falsafah dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
“Saya disahkan menghidapi kanser payudara tahap dua pada tahun 2018 dan pernah menjalani tiga kali pembedahan.
“Doktor maklumkan selepas pembedahan saya perlu menjalani enam sesi kimoterapi, 20 sesi radioterapi dan mengambil pil harmon selama lima tahun,” katanya.
Ketika itulah Junita merasakan beliau perlu menjelaskan keadaan dirinya kepada orang sekeliling terutama suami, keluarga dan penyelia PhD.
“Bagi saya, kunci untuk membuatkan urusan hidup menjadi mudah adalah dengan interaksi.
“Sentiasalah bercakap dengan tuhan yang maha mendengar dan banyakkan berbincang dengan orang yang rapat dengan kita,” katanya.
Mujurlah mereka memahami dan banyak memberi sokongan moral kepadanya sepanjang tempoh pengajian dan rawatan.
“Ketika menjalani rawatan, saya tetap berusaha menyiapkan tesis walaupun kadang kala hanya mampu menulis satu muka surat sahaja,” tambah beliau.
Tidak cukup dengan itu, sebelum pendaftaran ke program ijazah sarjana, ibu kepada empat anak ini mula menjalankan perniagaan kedai dobi.
“Melakukan kerja-kerja di kedai dobi menjadi terapi buat saya walaupun terpaksa membahagi masa antara tugas sebagai seorang isteri, ibu dan juga pelajar.
“Kini genap 10 tahun saya menjalankan perniagaan ini bermula dengan menyewa setengah lot kedai sehinggalah ke satu lot kedai,” katanya.
Tambah Junita, jatuh bangun dalam perniagaan itu biasa. Kedai dobinya juga turut terkesan dengan kehadiran pandemik Covid-19 namun terus bangkit dan bertahan di bidang berkenaan.
Kini setelah melalui pelbagai cabaran dan halangan, akhirnya Junita mampu menarik nafas lega kerana dapat menamatkan pengajiannya di peringkat doktor falsafah.
Lebih manis lagi, beliau turut diisytiharkan bebas daripada penyakit kanser yang menjadi pembunuh nombor satu wanita seluruh dunia.