Oleh Normayati Nordin

Lapan graduan Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-21 dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) melalui program Sarjana Sains Kejuruteraan Tenaga Lestari (MDL) telah diiktiraf sebagai Pengurus Tenaga Elektrik Berdaftar (REEM) oleh pihak Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

Pengiktirafan ini membolehkan graduan menjalankan kerja-kerja perundingan, pengurusan dan audit kecekapan tenaga bagi perpasangan yang menjana atau menggunakan tenaga elektrik melebihi 3,000,000 kWh untuk tempoh enam bulan berturut-turut tertakluk di bawah Peraturan Pengurusan Cekap Tenaga Elektrik 2008 (EMEER 2008).

Program MDL merupakan salah satu program pasca siswazah yang ditawarkan di FKMP, yang menyediakan peluang pengiktirafan profesional khusus untuk pelajar yang mengambil bidang Pengurusan dan Kecekapan Tenaga.

Untuk rekod, jumlah enrolmen pelajar MDL yang turut menarik minat pelajar antarabangsa ini mencecah 42 orang sejak mula ditawarkan pada 2019.