BATU PAHAT, 24 Mei 2022 – Rosnah Mahmood, 53 sayu menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Teknik dan Vokasional (Menengah) bagi pihak suaminya Muhammad Rosli Muhammad Dani, 57, yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim.

Rosnah berkata, suaminya yang sebelum ini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda, Shah Alam lumpuh satu badan akibat tekanan darah tinggi pada Julai 2019.

“Ketika kejadian, suami saya baru sahaja selesai menunaikan solat. Tidak lama selepas itu saya rasa tidak sedap hati lalu cuba mencarinya di bilik.

“Apabila saya melihat dia terbaring kaku dengan mata yang masih berkedip, kami sekeluarga terus membawanya ke hospital sebelum beliau disahkan terkena strok,” katanya.

Menurut Rosnah, dahulu suaminya sangat komited dengan tugas sebagai seorang Guru Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid).

Namun kesibukan mendidik anak bangsa itu tidak menjadi penghalang kepadanya untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda secara sambilan di UTHM.

“Setiap petang Jumaat beliau akan memandu ke Batu Pahat untuk mengikuti kelas dan akan pulang semula ke rumah pada petang ahad.

Begitulah rutin beliau sejak tahun 2014 sehingga pertengahan 2019 tanpa mengenal penat lelah kerana baginya jihad ilmu itu sangat besar ganjarannya.

Walaupun Rosnah tidak berpeluang menemani suaminya untuk naik ke pentas menerima skrol, namun beliau sekeluarga reda dan pasrah.

“Sehingga kini kami sekeluarga masih mengharapkan kesembuhan beliau dengan mencuba pelbagai ikhtiar.

“Saya dengan rendah hati mengharapkan doa daripada semua agar suami saya sembuh dan mampu hidup seperti sediakala,” katanya.